Raja Petra lupus bukti guna prgoram Clean IT - Semasa | mStar

Raja Petra lupus bukti guna prgoram Clean IT

PETALING JAYA:Pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin telah melupuskan bahan bukti pengendalian melalui komputer riba miliknya dengan menggunakan program "clean it", Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini.

ASP Waie Isqal Kria Abdullah dari Unit Siasatan Forensik Komputer Bukit Aman, berkata berdasarkan laporan analisis yang dilakukan terhadap komputer riba milik Raja Petra pada 11 sehingga 26 April lalu, tidak ada sebarang capaian ditemui.

Dengan itu, beliau berpendapat segala data yang terdapat di dalamnya telah dipadam menggunakan program "clean it",

"Apabila digunakan program tersebut, segala data tidak ditunjukkan dalam 'unallocated cluster' iaitu satu lagi program yang digunakan untuk menyimpan fail-fail aktif yang telah dipadamkan," katanya.

Waie Isqal yang merupakan saksi pendakwaan ke7 berkata demikian semasa memberikan keterangan pada perbicaraan Raja Petra, 58, yang dituduh menerbitkan artikel berbaur hasutan di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh. Artikel bertajuk "Let's Send the Altantuya Murderers to Hell" itu diterbitkan dalam www.malaysiatoday.net pada 25 April. Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Hakim Rozina Ayob akan memutuskan esok sama ada untuk membenarkan permohonan pendakwaan untuk Waie membuka dan menganalisis semula folder lain yang terdapat di dalam unit pemprosesan komputer (CPU) dan komputer riba milik Raja Petra.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof ketika mengemukakan permohonan itu berkata perkara itu amat penting bagi mencapai keputusan mahkamah yang adil.

"Sebelum ini, beliau (Waie) hanya mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan membuka folder yang berkaitan dengan artikel "Let's Send Altantuya Murderers To The Hell".

"Waie perlu membuat analisis kali kedua untuk mengeluarkan folder tersebut dan ia boleh dijadikan sebagai keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan. Adalah wajar untuk saksi pendakwaan mendapatkan kandungan folder tersebut bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan bukti keseluruhan yang ada dalam komputer," katanya.

Peguam yang mewakili Raja Petra, J. Chandra bagaimanapun membantah dengan menyatakan analisis kali kedua terhadap folder tersebut akan mencabar analisis sebelum ini sedangkan perbicaraan dilakukan mengikut skop dan spesifikasi yang betul.

Suasana dalam mahkamah hari ini agak lengang berbanding semalam, apabila hanya segelintir penyokong Raja Petra yang mengikuti perbicaraan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Pendakwa fail rayuan kew liwat Anwar

Artikel Berikut

Raja Petra lupus bukti guna program Clean It

Artikel Berkaitan

default image

Isu haram yoga fatwa jangan kaku Dr asri

Artikel Lain