suria

Pemuda tubuh pasukan pemantau elak langgar tata etika pemilihan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan membentuk pasukan pemantau bagi memastikan calon-calon pergerakan itu yang bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan parti Mac depan tidak melanggar tata etika parti.

Penolong Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pasukan pemantau itu akan memantau tatacara berkempen calon-calon, terutama berhubung kait dengan salah laku dan melanggar etika pertandingan termasuk amalan politik wang.

"Pasukan pemantau itu akan diwakili oleh perwakilan Pemuda yang dirahsiakan identitinya supaya mereka dapat bergerak dalam keadaan yang tidak diketahui dan mereka akan menyediakan laporan kepada Jawatankuasa Pemilihan atau Lembaga Disiplin Umno mengikut laporan yang diterima," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Setiausaha Pemuda Umno negeri-negeri di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, jika anggota pasukan itu membuat laporan mengenai adanya amalan politik wang, ia akan dihantar terus kepada Lembaga Disiplin Umno atau Jawatankuasa Pemilihan di peringkat pusat.

"Perwakilan matang apatah lagi dalam keadaan Umno perlu bermuhasabah diri, saya pasti calon Pemuda yang mengamalkan politik wang akan ditolak oleh perwakilan. Taklimat akan diberikan kepada perwakilan untuk menolak calon yang gunakan wang untuk memastikan Umno relevan," katanya.

Abdul Rahman meminta calon Pemuda termasuk mereka yang bertanding jawatan Ketua Pemuda, Naib Pemuda dan Exco memaklumkan kepada Badan Perhubungan Pemuda negeri supaya dapat menganjurkan acara bersama untuk mereka berkempen di peringkat negeri-negeri.

"Mana-mana berkempen di luar (pengetahuan) badan perhubungan adalah risiko masing-masing. (Kami) telah menetapkan acara berkempen mesti melalui badan perhubungan negeri dan program boleh disatukan untuk jimat masa dan tidak menyusahkan perwakilan bagi landasan memperkenalkan calon terutama calon exco," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Umno akan menghormati keputusan para perwakilan dalam memilih Ketua Pemuda baru bagi memantapkan lagi pergerakan itu.

Katanya, mesyuarat hari ini turut mencadangkan supaya Pengerusi Tetap Persidangan Pemuda Umno Bahagian diberikan kursus berterusan berkenaan kuasa dan peraturan perjalanan mesyuarat bagi memastikan mereka mampu mengendalikan mesyuarat dengan baik.

Selain itu, ia turut mencadangkan Ketua Pemuda Bahagian yang baru perlu melantik ahli jawatankuasa peringkat cawangan dalam masa tiga bulan bagi mengelakkan masalah dari segi pengiktirafan pemegang jawatan di peringkat pemuda cawangan dalam pemilihan tahun akan datang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain