suria

Pelancong Indonesia didakwa melepaskan tembakan terhadap polis

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari atas tuduhan melepaskan tembakan terhadap seorang anggota polis pada minggu lepas.

Ariyanto, 40, didakwa melepaskan tembakan terhadap Lans Koperal Mohd Azlan Abdullah, 24, di Jalan Hamzah, Kampung Baru di sini, kira-kira pukul 2.50 pagi, 29 Okt lepas.

Ariyanto yang berpakaian koyak rabak mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Ariyanto yang mengalami masalah pendengaran dan tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan jumlah serendah mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas meminta mahkamah tidak membenarkan Ariyanto diikat jamin kerana pas lawatan tertuduh akan tamat dalam tempoh terdekat dan mengambil kira keseriusan kes itu.

Hakim Mohd Nasir Nordin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain