suria

Rafidah Shahrizat elak saingan Wanita kekal peralihan kuasa Jun 2009

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno kembali 'stabil selepas pergolakan sementara' dengan memutuskan bahawa pelan peralihan kuasa Jun 2009 sayap itu kekal.

Dengan keputusan itu, Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kekal dengan jawatan masing-masing.

Malah, kedua-dua jawatan tersebut tidak akan dipertandingkan kali ini.

Shahrizat bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anggota Kabinet dijadual mengambil alih jawatan Ketua Wanita mulai Jun.

Keputusan untuk kekal pada pelan peralihan itu diputuskan pada mesyuarat Exco Wanita yang berlangsung empat jam. Mesyuarat itu berakhir 2.40 petang tadi.

Pelan peralihan kuasa jawatan Presiden Umno membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkuat kuasa Mac depan.

JAMIN PERPADUAN:

Rafidah menjelaskan, keputusan itu dicapai bagi menjamin perpaduan dan membantu proses pemulihan Umno dalam usaha mengukuhkan Umno yang akan menyaksikan peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib.

"Bagi kita Wanita sebagai tulang belakang Umno, kita membincangkan mengenai peranan kita dan sedar bahawa Wanita ini adalah harapan kepada Umno kerana kalau Umno ni nak kukuh, maka wanita umno juga hendaklah kukuh dan berpadu.

"Dengan cara begitu, barulah kita dapat menyumbang kepada proses pemulihan Umno dan dapat memberi kekuatan kepada pucuk pimpinan," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Wanita hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan dengan pencalonan yang diperolehi Shahrizat, Rafidah berkata, beliau tidak berasa apa-apa sebaliknya gembira dengan perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai satu tanda yang positif.

"Saya menganggapnya sebagai mereka bersedia mengambil Shahrizat sebagai Ketua (Wanita Umno)... saya gembira.

"Kalau dicalonnya orang lain, risau saya sebab saya sudah calonkan Shahrizat sebagai pengganti saya.

"Itu bermakna lebih 70 bahagian bersedia menerima anda (Shahrizat) tapi tunggulah sikit masa lagi," katanya.

SYOR TIADA TANDINGAN:

Rafidah berkata, sebagai pemimpin, mereka telah mengesyorkan supaya tiada pertandingan untuk merebut dua jawatan tertinggi itu.

"Saya percaya wanita Umno sudah matang," katanya.

Berhubung kekosongan bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada Jun nanti selepas Shahrizat memangku jawatan Ketua Wanita, Rafidah berkata, ia bukan satu masalah.

"Ini dah dibincang secara peribadi dan diserahkan kepada exco.

"(Dalam) exco ni, beliau (Shahrizat) akan jadi ketua. Biarlah panggil pemangku ke apa, kenyataannya beliau ketua yang akan bekerja dengan pasukan exco, penjawat-penjawat di ibu pejabat dan lebih penting lagi bekerja dengan ketua-ketua negeri.

"Saya pesan kepada Shahrizat, kalau tiada pertandingan dan beliau jadi pemangku, tidak mengapa tiada naib tapi beliau boleh tengok dalam ramai-ramai (exco), siapa wanita yang berpotensi sebagai naib, sama seperti saya melihatnya.

"Beliau (Shahrizat) ada peluang itu. Itu (jawatan pemangku) sekejap saja. Nanti sudah sampai masa. Itu bukan masalah," katanya.

Rafidah juga menolak kenyataan sesetengah pihak bahawa parti akan kembali pulih dengan sendirinya selepas pertandingan merebut jawatan.

"Ada orang kata, parti ni, selepas dah lawan-lawan, (akan) OK... saya cabar la, belum pernah OK.

"Daripada Presiden sampailah ke akar umbi, tak OK. Tiga empat tahun pun belum OK, sampai hari ini pun yang bermusuh lagi. Yang bercakap tu, dia lupa sejarah.

"Saya nak rapatkan wanita sejak bertanding dulu punyalah lama kerana kadang-kadang kita emosi menyokong seseorang itu," katanya.

SHAHRIZAT AKUR:

Shahrizat dalam pada itu, berkata, beliau akur dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh exco hari ini.

"Saya masih menghormati pelan perliahan yang diumumkan Ogos lalu dan hari ini apabila kita dah bebrbincang, kita bersetuju untuk kekalkan peralihan pada untuk Jun.

"Kita mesti letakkan Pergerakan dan parti sebagai keutamaan," katanya.

Berhubung jawatan Naib Ketua Wanita yang turut menyaksikan Datuk Kamilia Ibrahim juga sudah layak bertanding, Shahrizat berkata, beliau dan Rafidah akan berbincang dengan Kamilia berhubung perkara tersebut.

Ketika ditanya mengenai kenyataan media yang dikeluarkannya semalam yang meminta Rafidah mempercepatkan peralihan kuasa, Shahrizat berkata, ia dibuat kerana beliau ingin berkongsi pemikirannya.

"Apabila habis sahaja mesyuarat Wanita bahagian semalam, saya mengambil kira suara akar umbi yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri (Rafidah) dan saya dan saya juga mengambil kira senario politik yang ada pada hari ini.

"Apabila saya tengok pencalonan ditutup bahawa saya dan Tan Sri (Rafidah) dicalonkan untuk jawatan Ketua dan saya dan Datuk Kamilia untuk Naib, saya rasa terpanggil untuk membuat kenyataan untuk saya berbincang dengan Tan Sri (Rafidah) dan exco, boleh tak kita bersetuju untuk diselaraskan (peralihan kuasa) dengan badan induk, Pemuda dan Puteri.

"Tapi seperti yang saya kata, saya masih menghormati pelan peralihan kuasa," katanya.

Kamilia tidak menghadiri mesyuarat Exco yang diadakan hari ini.

BERITA TERDAHULU:

Wanita bertemu pagi ini, 'kata dua' Shahrizat kaji semula pelan peralihan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno mengadakan pertemuan di ibu negara pagi ini sementara Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz supaya mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa jawatan tertinggi sayap itu.

Mesyuarat Exco Wanita, yang dipengerusikan oleh Rafidah, bermula pukul 10.40 pagi.

Shahrizat yang terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno mahu langkah itu diambil supaya selaras dengan pemilihan parti peringkat pusat Mac depan.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan perkembangan Umno masa kini.

"Saya masih menghormati pelan peralihan jawatan yang diumumkan Tan Sri (Rafidah) pada 4 Ogos kepada saya untuk jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia.

"Saya memohon kebijaksanaan serta kerjasama Tan Sri mempertimbangkan tarikh peralihan jawatan itu diselaraskan seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan Agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shahrizat berkata, semasa Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lepas, Perhimpunan Agung Umno dijadualkan berlangsung pada Disember ini, manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan pada 2010.

Bagaimanapun Perhimpunan Agung Umno ditangguhkan sehingga Mac depan, manakala tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga dipercepatkan.

"Tan Sri (Rafidah) mengumumkan pelan peralihan jawatan itu untuk menentukan peralihan kuasa antara Presiden dan Naib Presiden berjalan lancar tanpa diganggu gugat ketidakstabilan Wanita jika ada pertandingan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita," katanya.

Sehingga hari ini Rafidah telah memperoleh 116 pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita, manakala Shahrizat pula mendapat 73 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua pula Shahrizat menerima 113 pencalonan.

"Berdasarkan kepada pencalonan terkini dan jika ada permuafakatan antara semua yang terlibat, maka hasrat Tan Sri supaya tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita mungkin dapat dicapai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain