suria

Politik wang serius Lembaga Disiplin diarah siasat segera sebelum pemilihan

PUTRAJAYA: Lembaga Disiplin Umno telah diminta agar menyegerakan siasatan berhubung gejala politik wang bagi menghalang individu yang bersalah daripada bertanding pada pemilihan parti Mac tahun depan, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Keputusan itu dibuat oleh Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mesyuarat melibatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, Tengku Adnan dan Abdullah sendiri.

"Presiden berkata, kalau boleh siasatan itu harus disegerakan supaya mereka yang bersalah (terlibat) tidak boleh bertanding.

"Kalau ada yang bersalah tetapi terpilih memenangi jawatan, mereka perlu melepaskan jawatan itu atau akur dengan penemuan dan arahan Lembaga Disiplin," katanya kepada pemberita pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, Lembaga Disiplin Umno turut mendapatkan kerjasama Badan Pencegah Rasuah bagi menangani keseluruhan 900 laporan mengenai amalan politik wang yang diterima sejak bermulanya mesyuarat bahagian bulan lepas.

Ketika ditanya mengenai kaedah yang sesuai untuk diguna pakai bagi menghalang seseorang calon itu bertanding hingga siasatan ke atasnya selesai dilakukan, beliau berkata, kaedah seumpama itu tidak pernah wujud selama ini.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu tertakluk atas budi bicara Lembaga Disiplin.

"Untuk menghalang mereka daripada bertanding hingga siasatan selesai adalah tidak adil. Ada kalanya laporan yang dibuat ke atas mereka hanya bertujuan untuk menganiayai individu terbabit.

"Bila kalah baru buat laporan. Sebelum kalah dulu, tak ada pun buat laporan," katanya.

Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Seremban, Tengku Adnan berkata, sebarang permasalahan yang timbul seharusnya diselesaikan dengan cara yang penuh tertib tanpa mengikut emosi.

"Perbuatan seperti ini sangat keterlaluan. Saya minta kepada ahli-ahli Umno, kita ada perlembagaan. Kita adalah sebuah parti yang berstruktur, jadi kita ikut peraturan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, politik wang yang sering diperkatakan terutama ketika berlangsung pemilihan parti di semua peringkat, menampakkan seolah-olah Umno sebuah parti yang semakin parah dan lemah.

Beliau berkata, meskipun ia dilakukan oleh hanya segelintir individu, namun apa yang berlaku menggambarkan seolah-olah Umno diwarnai dengan politik wang dan kesemua pemimpin dilihat bagaikan terbabit dengannya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Arau, beliau berkata, perkara-perkara ini hanya memalukan Umno sebagai sebuah parti Melayu yang menunjangi Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Arau seterusnya mencadangkan kesemua calon dan perwakilan yang terbabit dalam perhimpunan parti Mac tahun depan supaya dipanggil untuk diberi taklimat berkaitan masa depan Umno dan bahaya politik wang.

Shahidan seterusnya mencabar mereka yang sering membangkitkan isu politik wang supaya tampil dan membuktikan kewujudannya.

"Sekiranya terdapat bukti wujud politik wang dalam kepimpinan, laporkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut. Jangan hanya mendedahkan aib orang kerana itu belum tentu benar," katanya.

Beliau turut menasihati calon-calon yang bertanding serta para perwakilan agar tidak bermusuhan dan tidak terlalu teruja untuk menjatuhkan orang lain kerana di saat ini, semua pihak perlu bersatu demi Umno.

Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin meminta pucuk pimpinan tertinggi Umno supaya bertindak tegas dengan mendedahkan amalan politik wang demi kepentingan jangka panjang parti itu.

"Kita kena berani perkatakan hal ini dengan berbincang secara terbuka... ramai pihak cuba menutup atau lari daripada masalah ini dan saya fikir pendekatan ini tidak betul kerana kita perlu berhadapan dengannya.

"Saya mungkin tidak popular kerana memperkatakan perkara ini yang dianggap sebilangan kita sebagai cukup sensitif, tetapi sebagai pemimpin kita tidak perlu takut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rosnah yang bertanding jawatan Ketua Puteri berkata, semua pihak perlu memikirkan kesan jangka panjang gejala politik wang yang kini semakin menjadi budaya dalam parti.

"Jika kita pilih seseorang pemimpin kerana wang dan bukan kebolehan yang dimilikinya, ini akan merugikan kita. Pemimpin seperti ini mudah dijual beli oleh orang luar... inilah yang kita takut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain