suria

Perhimpunan Bersih 23 ditahan tidak didakwa bawah ISA

KUALA LUMPUR Polis hari ini menafikan khabar angin bahawa 23 orang yang ditahan kerana menyertai satu perhimpunan haram di Petaling Jaya malam semalam, akan didakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis dan “bukannya akan didakwa mengikut ISA seperti yang dilaporkan dalam laman blog dan khidmat pesanan ringkas (SMs).

"Kesemua peserta perhimpunan itu yang ditahan telah dibebaskan pagi tadi dengan jaminan polis.

"Tetapi mereka perlu melaporkan diri pada 24 Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan agung persatuan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Katanya, penganjur perhimpunan semalam itu juga tidak memohon permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

Perhimpunan haram yang disertai kira-kira 350 orang di Petaling Jaya malam tadi adalah bagi memperingati ulang tahun pertama perarakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Antara yang ditahan ialah anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua; Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San dan juruvideo Malaysiakini, Syukri Mohamad.

Difahamkan seorang peserta berusia 33 tahun tidak dibebaskan kerana dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes rogol.

Ini merupakan kali pertama polis mengambil tindakan setelah empat minggu berturut-turut penyokong Bersih mengadakan perhimpunan haram pada setiap hari Ahad dengan menyalakan lilin.

Dalam pada itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan polis menyurai perhimpunan haram, yang diadakan sempena peringatan ulang tahun pertama Bersih malam tadi, dan menahan lebih 20 orang termasuk tiga pemimpin pembangkang di Pusat Sivik Petaling Jaya, adalah sebahagian daripada tugas memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Dalam situasi seperti itu, katanya, polis perlu bertindak untuk mempertahankan peraturan dan undang-undang bagi memastikan ketenteraman awam diberi keutamaan.

Bercakap kepada pemberita lobi Parlimen hari ini, Syed Hamid berkata, beliau belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian itu.

"Sekiranya anda ada melakukan sesuatu perkara dan polis mengambil tindakan maka jika anda tidak berpuas hati dengannya, berikan maklumat secara spesifik kepada saya dan saya akan memeriksanya," kata Syed Hamid.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat akan berbincang dengan polis terlebih dahulu sebelum menganjurkan sesuaut perhimpunan supaya kejadian seperti itu tidak berulang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain