suria

Mahkamah Syariah dibenar sidang Sabtu Ahad

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Syariah merancang untuk mengadakan perbicaraan pada Sabtu dan Ahad, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata, jabatan itu yang bertanggungjawab dalam hal penyelarasan pentadbiran Mahkamah Syariah, juga telah mengeluarkan arahan amalan Mahkamah Syariah dari semasa ke semasa termasuk Proses Sulh, bertujuan mempercepatkan urusan penyelesaian kes.

Mengikut statistik, jumlah kes Syarie di Malaysia yang masih dalam prosiding sejak tahun 2006 hingga tahun ini ialah sebanyak 344,221 kes manakala kes yang selesai keseluruhan adalah 182,782 dalam tempoh yang sama.

Daripada jumlah itu, sebanyak 153,216 kes mal iaitu kes bukan jenayah telah selesai keseluruhan manakala 262,403 kes mal masih dalam prosiding sementara kes jenayah yang selesai keseluruhan pula adalah sebanyak 30,575 kes manakala 81,818 kes jenayah lagi masih dalam prosiding.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Juslie Ajiro (BN-Libaran) berhubung kelayakan hakim Syarie dalam menyelesaikan kes tertangguh, Abdullah berkata, secara keseluruhannya Mahkamah Syariah tidak berdepan dengan masalah kes tertangguh yang ketara sejak kebelakangan ini berdasarkan laporan kajian UIAM Interpreneurs.

Menurut kajian itu, katanya, daripada tahun 1998 hingga 2002, jumlah pembubaran perkahwinan yang selesai dalam tempoh kurang setahun adalah 93.7 peratus manakala kes yang melebihi setahun hanya 6.3 peratus.

Abdullah berkata, hakim syarie yang dipilih untuk menyelesaikan kes-kes di Mahkamah Syariah terdiri daripada kalangan pegawai Syariah yang telah dilatih dan diberikan pelbagai pendedahan pengalaman kerja.

Beliau berkata, antara pendedahan pengalaman kerja termasuklah pernah menjawat jawatan Pegawai Sulh, Pegawai Biro Bantuan Guaman, Peguam Syarie Persekutuan Jabatan Peguam Negara, Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Negeri, Pegawai Penyelidik Hakimhakim dan sebagainya.

Dengan pengalaman bertugas di beberapa agensi kerajaan di samping jawatan gred LS44 bagi jawatan hakim Mahkamah Rendah dan gred LS54 Hakim Mahkamah Tinggi, adalah merupakan jawatan kanan, katanya.

"Semua faktor ini telah meletakkan hakim Syarie sebagai mereka yang berkemampuan dalam mengendalikan keskes di Mahkamah Syariah dengan cemerlang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain