suria

Mahkamah benarkan Raja Petra tarikh balik permohonan habeas corpus

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin, yang dibebaskan daripada tahanan mengikut Akta Keeselamatan Dalam Negeri (ISA) Jumaat lalu, untuk menarik balik permohonan habeas corpus beliau yang dikemukakan 16 September.

Hakim Suraya Othman membenarkan permohonan itu selepas peguam yang mewakili Raja Petra, Malek Imtiaz Sarwar membuat permohonan secara lisan kepada mahkamah hari ini.

"Anak guam saya mengarahkan saya untuk menarik balik (permohonan) berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskannya daripada tahanan ISA selama dua tahun," kata Malek Imtiaz kepada mahkamah.

Suraya berkata oleh kerana perkara itu telah menjadi perkara akademik, mahkamah membenarkan permohonan itu dan terserah kepada Raja Petra, jikalau beliau mahu, mengambil tindakan sivil berhubung penahanannya.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria berkata Kementerian Dalam Negeri dan Pusat Tahanan Kamunting tidak membantah permohonan Raja Petra.

Raja Petra memfailkan permohonan habeas corpus pada 16 September atas alasan penahanannya tidak mengikut undang-undang dan tindakan Menteri Dalam Negeri itu melanggar Perlembagaan Persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain