Kerusi terbang warnai mesyuarat Umno Seremban perwakilan cedera - Semasa | mStar

Kerusi terbang warnai mesyuarat Umno Seremban perwakilan cedera

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN: Mesyuarat peringkat bahagian yang dijadual berakhir semalam 'tercemar' apabila Persidangan Perwakilan Umno Seremban terpaksa ditangguhkan ekoran pergaduhan sehingga menyebabkan dua perwakilan cedera ringan.

Persidangan tersebut akan diadakan minggu depan, kata Setiauasaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kata beliau, Ibu Pejabat Umno akan menghantar pasukan khas untuk mengendalikan persidangan bahagian itu.

REAKSI PRESIDEN

Dalam reaksi segera di Kepala Batas, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan pergaduhan yang berlaku sambil menyifatkan ia sebagai kejadian yang amat memalukan.

Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap perwakilan harus mematuhi peraturan dan perjalanan mesyuarat dengan baik, kata beliau.

Tegas beliau, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat jika didapati bersalah.

Katanya, bukan sahaja politik wang yang boleh dikenakan tindakan disiplin malahan kes yang melibatkan pergaduhan juga boleh diambil tindakan sama.

Sebaik diajukan soalan itu oleh wartawan, beliau terus menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi telefon bimbit seorang pengawal peribadinya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana kejadian itu mengakibatkan kecederaan kepada perwakilan, ia juga merupakan satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan menurut Kanun Keseksaan.

Ketua Umno Cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman pula membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana cedera dipukul seorang pengawal keselamatan.

PUNCA KEJADIAN

Mesyuarat yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi menjadi gamat dengan adegan baling kerusi dan tumbukmenumbuk di dalam dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar.

Keadaan menjadi kecoh selepas kira-kira 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli Umno cawangan bahagian itu enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap bahagian Othman Senara.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang berlarutan selama hampir setengah jam menyebabkan sebahagian daripada perwakilan yang datang melarikan diri.

Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail kemudian mengeluarkan usul supaya mesyuarat itu ditangguh dan diserahkan perjalanannya kepada Majlis Tertinggi.

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang kemudian mengadakan sidang akhbar untuk kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu selepas melakukan demontrasi di hadapan dewan dengan membawa sepanduk mengutuk Ishak.

Katanya, kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu cuma mahu melahirkan rasa tidak puas hati kerana cawangan-cawangan mereka belum lagi bermesyuarat.

"Ishak dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian walaupun Majlis Tertinggi mahukan semua mesyuarat cawangan diselesaikan dahulu, baru boleh mesyuarat bahagian dibuat," katanya.

RAHIM ELAK WARTAWAN

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Umno Bahagian Seremban yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik hadir pada mesyuarat itu, tetapi beliau enggan menemui pemberita.

Kelmarin, Mohd. Nor yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 2 September lepas atas dua tuduhan memberi rasuah kepada perwakilan, telah melakukan demontrasi di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan.

Beliau yang sepatutnya mencabar Ishak gagal bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban selepas Majlis Tertinggi kelmarin membuat pengumuman bahawa beliau tidak layak bertanding jawatan itu kerana masih dalam pertuduhan rasuah.

Ini bukan kali pertama kekecohan disaksikan ketika persidangan perwakilan di peringkat bahagian.

Pada 17 Oktober lalu, Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

ULASAN MB

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insiden pergaduhan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Seremban pagi ini tidak sepatutnya berlaku.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata beliau akan meneliti laporan penuh insiden itu daripada jawatankuasa pemantau.

"Setakat ini, saya sedang menunggu laporan jawatankuasa pemantau," katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian iu.

Artikel Sebelum

Kajian bukti konsep Islam Hadhari Zahid

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain