suria

Kajian bukti konsep Islam Hadhari Zahid

SEREMBAN: Kajian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa konsep Islam Hadhari diterima dan difahami ramai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan dakyah kalangan parti pembangkang untuk menyempitkan pemikiran orang ramai mengenai pendekatan Islam Hadhari itu gagal sama sekali.

Katanya, kajian itu dibuat terhadap 2,244 responden yang terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, ahli korporat, pelajar, badan bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan politik sejak sejak pertengahan tahun lepas.

"Sebahagian besar responden atau kira-kira 84 peratus menerimanya berbanding hanya sebilangan kecil sahaja yang menolak.

"Kajian turut merangkumi responden dari kalangan bukan Islam dalam bilangan kecil iaitu hanya 6.4 peratus," katanya kepada Bernama semasa Wacana Panel Pemikiran Islam Hadhari di sini malam tadi.

Zahid berkata, aspek terpenting dalam kajian ini ialah pemahaman responden mengenai agama, di mana sebanyak 45.9 peratus daripada mereka mendapat pendidikan Islam yang cukup mendalam melalui sekolahsekolah agama dan pondok.

"Ini menunjukkan golongan agama tidak menentang pendekatan Islam Hadhari, namun begitu tidak dapat dinafikan bahawa sentimen politik, kekeliruan dan salah faham mempengaruhi golongan yang menentang konsep ini," katanya lagi.

Zahid berkata, kebanyakkan masyarakat yang tinggal di dalam bandar mempunyai pengetahuan yang lebih mengenai prinsip Islam Hadhari ini, mungkin disebabkan penumpuan penjelasan mengenai konsep ini banyak disasarkan kepada penduduk di dalam bandar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain