suria

Isu mansuh ISA Umno beri Zaid surat tunjuk sebab

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diberi surat tunjuk sebab atas tindakan beliau menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri dan mengadakan pertemuan dengan pembangkang berhubung syor Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Zaid pada sidang media di sini pagi tadi.

Zaid memberitahu, beliau menerima surat itu beberapa minggu lalu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengesahkan surat sedemikian telah diberikan kepada Zaid.

"Beliau mempunyai masa hingga 15 November ini untuk memberikan maklum balas. Kemudian kami akan membawa (kes itu) ke jawatankuasa pengurusan untuk tindakan susulan," kata beliau ketika dihubungi The Star.

Zaid berundur daripada Kabinet September lalu sebagai protes terhadap penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah ISA.

Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan termasuk Raja Petra Raja Kamarudin Jumaat lalu.

Minggu lalu, Zaid berkata, surat perletakan jawatan Senator juga telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa minggu selepas berundur dari Kabinet.

Walaupun tidak bertanding pilihan raya umum Mac lalu beliau dilantik menganggotai Kabinet.

Tindak-tanduk politik Zaid menimbulkan rasa kecewa banyak pemimpin Umno apabila beliau dilihat senada dengan pendekatan politik parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditunjangi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid, bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru, telah mengeluarkan surat terbuka kepada Abdullah meminta beliau agar memasuhkan ISA.

Malah baru-baru ini kenyataan Zaid yang menyentuh konsep ketuanan Melayu juga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin Umno.

Kata Zaid, kepimpinan Umno mendapati surat yang dihantarnya kepada Perdana Menteri adalah satu kesalahan sambil menganggap ia telah melanggari peraturan parti.

"Mereka juga tidak gembira saya menghadiri pertemuan-pertemuan wakil rakyat yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Parlimen, ketika itu saya masih merupakan Senator," katanya.

Zaid menjelaskan, beliau memberikan sokongan ke atas isu yang timbul, bukannya menyokong Penasihat DAP, Lim Kit Siang; PAS ataupun Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat.

Ketika ditanya mengenai ucapannya pada majlis LawAsia conference di ibu negara bulan lalu, yang antara lain menyentuh isu ketuanan Melayu, Zaid berkata, beliau ada membaca laporan media bahawa tindakan kemungkinan diambil ke atasnya.

"Saya akan membuat lebih banyak ucapan (selepas in), jadi masa depan saya nampak suram," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain