suria

Bekas Naib Presiden mahu cabar Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan hari ini mengesahkan bahawa beliau sedang 'memikirkan' untuk mencabar presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu bagi jawatan tertinggi parti itu, tetapi belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Bercakap kepada Bernama beliau berkata, sepanjang dua minggu lepas, beliau telah mengadakan pertemuan dengan anggota parti serta pemimpin peringkat akar umbi dan maklum balas yang diperoleh menggalakkan.

"Saya tidak akan membuat sebarang pengesahan rasmi mengenai perkara itu sekarang. Penyokong saya dan pemimpin cawangan merasakan jika saya mengumumkan hasrat saya sekarang, mereka akan berhadapan dengan kemarahan Samy Vellu yang mungkin memecat mereka yang menyokong saya.

"Saya juga merasakan Samy Vellu perlu dicabar demi kepentingan MIC, Barisan Nasional dan masyarakat India Malaysia," kata Muthupalaniappan.

Parti terbesar kaum India di negara ini akan mengadakan pemilihan presiden pada Mac tahun depan, manakala pemilihan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan diadakan pada September.

Samy Vellu mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan tertinggi parti itu dan pada awalnya dijangka akan memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Bagaimanapun Muthupalaniappan mungkin akan merosakkan jangkaan itu, jika beliau berjaya mendapat pencalonan daripada 50 cawangan.

Perlembagaan parti menetapkan calon presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 50 pencalonan dari cawangan sebelum dibenar bertanding jawatan tertinggi parti itu. Setiap pencalonan mesti dicadang oleh seorang pemegang jawatan cawangan dan disokong lima pemegang jawatan yang lain.

Pemegang jawatan cawangan akan mengundi bagi memilih presiden MIC, tidak seperti jawatan lain yang akan diputus oleh kirakira 1,500 perwakilan ke perhimpunan agung parti.

"Terdapat juga kebimbangan di kalangan pemimpin cawangan bahawa presiden mungkin menggunakan pengaruhnya untuk tidak menggalakkan mereka mencalonkan saya bagi jawatan tertinggi parti itu.

"Saya dinasihat membuat pendirian rasmi hanya dalam dua atau tiga minggu. Buat masa ini, saya akan mendapatkan pandangan pemimpin kanan parti mengenai hasrat saya," kata Muthupalaniappan.

Muthupalaniappan, 68, yang juga seorang peguam, kali pertama dipilih ke jawatankuasa kerja pusat pada 1979.

Pada tahun yang sama beliau dilantik ketua MIC Negeri Sembilan, dan ketua Pemuda parti.

Beliau dilantik Senator pada 1980 dan pada 1982 Muthupalaniappan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Si Rusa dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Muthupalaniappan bertanding jawatan naib presiden parti pada 1987 dan 1991 tetapi tewas kedua-duanya.

Beliau yang menang jawatan itu pada 1997, bagaimanapun gagal mempertahankannya pada pemilihan parti 2000 dan 2006.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain