suria

Mangsa lega hukuman mati pengebom Bali, Amnesty kecam

JAKARTA: Seorang mangsa kes pengeboman Bali 2002 hari ini melahirkan rasa lega kerana akhirnya keadilan dapat dilaksanakan apabila tiga lelaki yang bertanggungjawab dalam kejadian yang meragut nyawa 164 rakyat asing dan 38 rakyat Indonesia, ditembak mati awal pagi ini.

Mangsa itu Khusnul Khotimah, berkata beliau berasa lega dengan hukuman ke atas Amrozi dan abangnya Mukhlas serta Imam Samudra yang ditembak mati di bahagian jantung, yang telah dijalankan di Lembah Nirbaya di atas pulau tahanan Nusakambangan pada pukul 12.15 pagi ini.

Ketika ditemu bual sebuah stesen televisyen tempatan pagi ini, beliau, yang mengalami kecacatan kekal di beberapa bahagian badan termasuk mukanya, berasa lega kerana menurutnya keadilan akhirnya telah dilaksanakan untuk semua mangsa, baik yang mati mahupun yang cacat kekal.

"Selain itu, saya meminta pemerintah agar mempertimbangkan memberi peluang pekerjaan kepada saya kerana sehingga kini masih belum mendapat pekerjaan akibat kecacatan yang saya alami," katanya.

Sementara itu, jenazah ketiga-tiga mereka sudah diterbangkan dengan helikopter ke kampung halaman masing-masing di Lamongan, Jawa Timur bagi dua beradik Amrozi dan Mukhlas, manakala ke Serang, Banten bagi jenazah Imam Samudra.

Dalam perkembangan berkaitan, semua media massa yang menunggu sejak sembilan hari lepas di sekitar rumah kedua-dua keluarga itu dilarang membuat liputan pemakaman mereka dan keluarga mereka pula membuat bantahan kerana pihak berkuasa mengenakan kawalan ketat sehingga menyulitkan ribuan penziarah.

Stesen-stesen TV tempatan yang membuat siaran langsung ketibaan jenazah-jenazah itu di Desa Tenggulun, Lamongan, menayangkan bagaimana ribuan orang yang diistilahkan sebagai 'pendukung' Amrozi dan rakan-rakannya meneriakkan 'Allahu Akbar" sebaik jenazah dipindahkan ke dua buah ambulans.

Dalam pada itu, sebagai reaksi kepada pengumuman pelaksanaan hukuman mati itu oleh jurucakap Mahkamah Agung Indonesia, Jasman Pandjaitan awal pagi ini, agensi-agensi berita asing pula melaporkan sebahagian keluarga rakyat Australia yang mati dalam pengeboman di kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002 itu, turut berasa lega.

Bagaimanapun, Amnesty International yang berpejabat di London dilaporkan sebagai berkata bahawa ia mengutuk keras kejadian Bom Bali tetapi tetap menganggap bahawa pelaksanaan hukuman tembak mati ke atas ketiga-tiga pesalah itu sebagai melanggar hak asasi manusia. BERNAMA

Artikel Lain