suria

Pemilihan: Umno Pekan tiada pencalonan kecuali Presiden

PEKAN: Umno Bahagian Pekan, yang diketuai Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak hari ini memutuskan tidak membuat sebarang pencalonan untuk Majlis Tertinggi (MT) parti itu Mac depan.

Bagaimanapun, mesyuarat berkenaan yang dihadiri seramai 604 perwakilan itu sebulat suara mencalonkan Najib yang pada Ahad lalu menang tanpa bertanding bagi calon Presiden parti itu.

Sebelum itu, Najib ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat bahagian itu berkata, keputusan sedemikian dibuat agar ia tidak mempengaruhi sikap perwakilan pada pemilihan parti itu nanti.

"Itu merupakan keputusan Majlis Tertinggi supaya bahagian Kepala Batas (bahagian Umno yang diketuai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Pekan ini tidak mempengaruhi sikap perwakilan nanti berdasarkan pencalonan yang dibuat keduadua bahagian.

"Perkara yang sama dilakukan pada pemilihan dulu, empat tahun dulu, di mana bahagian Kepala Batas dan Pekan juga dikecualikan, ini supaya tidak menimbulkan apaapa tafsiran dan tanggapan di kalangan perwakilan nanti," katanya di sini.

Ditanya terdapat desakan daripada beberapa bahagian lain yang tetap mahukan bahagian Pekan membuat pencalonan MT, Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata;

"Tak apalah, itu pandangan bahagian lain, tapi itu merupakan keputusan Majlis Tertinggi," katanya.

Ditanya calon pilihannya untuk jawatan Timbalan Presiden Umno, Najib hanya tersenyum berkata:

"Usahlah tanya saya setakat ini (ketika ini)," katanya.

Kelayakan untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno menjadi rebutan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Artikel Sebelum

Artikel Lain