suria

Naib Presiden Umno: Rais, Jamaluddin makin hampir layak

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, masing-masing semakin hampir layak bertanding kerusi Naib Presiden.

Mereka hanya memerlukan dua lagi pencalonan untuk melepasi kuota yang ditetapkan iaitu 20 pencalonan.

Jamaluddin setakat pukul 6.30 petang hanya menerima pencalonan daripada Umno bahagian Pensiangan menjadikan jumlah pencalonan yang diperolehnya setakat ini 18 manakala Rais mendapat sokongan daripada bahagian Ketereh dan Kuala Nerus, menokok kepada 18 pencalonan.

Calon yang melepasi had kelayakan bertanding ialah Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (127 pencalonan); Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (90); Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (65); Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (66); Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (27) dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad (23).

Sementara itu, Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memerlukan sekurang-kurangnya lapan lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu.

Beliau setakat ini memperoleh tiga pencalonan daripada bahagian Kuala Nerus, Sungai Besar dan Kubang Kerian menjadikan jumlah keseluruhannya 12.

Calon-calon lain yang bertanding jawatan sama adalah Datuk Seri Shahidan Kassim (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (dua), Tan Sri Annuar Musa (dua), Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Halimah Mohamad Sadique dan Datuk Dr Affifuddin Omar masing-masing mendapat satu pencalonan.

Sementara itu, dalam saingan perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno, Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga Anggota Parlimen Jerlun, sehingga pukul 6.30 petang ini masih mengungguli persaingan dengan memperoleh 74 pencalonan.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga Anggota Parlimen Rembau, menambah satu lagi pencalonan hari ini daripada bahagiannya menjadikan jumlah pencalonan diterimanya kepada 52 manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menambah dua pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan diterimanya setakat ini kepada 59.

Mohamad Khir mendapat sokongan daripada Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ipoh Timur dan Larut.

Seorang lagi calon Ketua Pemuda, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menarik diri daripada bertanding jawatan itu pada 23 Oktober lepas selepas mendapat satu pencalonan daripada Bahagian Padang Besar, Perlis.

Bagi jawatan naib Ketua Pemuda, anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim yang memperoleh dua lagi pencalonan daripada Bahagian Ipoh Timur dan Larut, masih mendahului persaingan dengan 96 pencalonan setakat ini.

Pesaingnya, anggota Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican mendapat pencalonan daripada Bahagian Rembau menjadikan jumlah keseluruhan 75 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (tiga), manakala Ketua Pemuda Bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Bahagian Kapar Faizal Abdullah, masingmasing masih dengan satu pencalonan.

Sementara itu, penyandang Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini masing-masing menambah dua pencalonan bagi persaingan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan Mac depan. Rafidah menerima pencalonan daripada Wanita Umno Bahagian Rembau dan Seremban sementara Shahrizat menerima pencalonan daripada Bahagian Ipoh Timur dan Larut.

Jumlah itu menyaksikan Rafidah mengumpul 109 pencalonan manakala Shahrizat menerima 69 pencalonan.

Shahrizat juga menambah dua lagi pencalonan daripada Bahagian Rembau dan Seremban dengan menjadikannya jumlah keseluruhan 106 pencalonan bagi perebutan jawatan Naib Ketua Wanita.

Bagi jawatan Naib Ketua Wanita, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said menambah pencalonan daripada Bahagian Larut manakala Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim mendapat pencalonan daripada Bahagian Ipoh Timur menjadikan masing-masing mengumpul 15 dan 52 pencalonan.

Pemimpin lain yang turut mendapat pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Wanita ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Mohamad Sadique, masing-masing dua pencalonan dan Exco Wanita Umno Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu pencalonan).

Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Puteri Umno menyaksikan Naib Ketua Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mendahului dengan 66 pencalonan, diikuti Ketua Penerangan Datuk Shahaniza Shamsuddin (65) sehingga pukul 7 petang ini.

Hari ini, Shahaniza mendapat pencalonan daripada Puteri bahagian Pengkalan Chepa, Seremban dan Larut manakala Rosnah memperoleh pencalonan daripada Ipoh Timur dan Lembah Pantai.

Pengerusi Biro Keahlian Puteri Umno Datin Ismalina Ismail kekal dengan 31 pencalonan, setiausaha pergerakan Bibi Sharliza Mohd Khalid (27), Ketua Puteri Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (11), Pengerusi Tetap Puteri bahagian Petaling Jaya Utara Ida Rahayu Mohd Noor dan bekas Ketua Puteri Umno cawangan Taman OUG, Bahagian Seputeh Saarah Ali Bashah masing-masing dua pencalonan serta ketua Puteri Terengganu Senator Nordiana Shafie satu pencalonan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain