suria

Mahathir gembira bekas KSU bebas tuduhan

DR. ABDUL Aziz Muhamad (kanan) ketika keluar dari bilik mahkamah setelah dibebaskan dari tuduhan pecah amanah di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur kelmarin. --fotoBERNAMA
DR. ABDUL Aziz Muhamad (kanan) ketika keluar dari bilik mahkamah setelah dibebaskan dari tuduhan pecah amanah di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur kelmarin.   --fotoBERNAMA
DR. ABDUL Aziz Muhamad (kanan) ketika keluar dari bilik mahkamah setelah dibebaskan dari tuduhan pecah amanah di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur kelmarin. --fotoBERNAMA

PETALING JAYA Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Aziz Muhamad daripada tuduhan melakukan pecah amanah dan menipu melibatkan RM9 juta.

Dalam tulisan terbaru beliau melalui laman blog www.chedet.com, Dr. Mahathir berkata, beliau mengenali Abdul Aziz sebagai pegawai yang baik dan amat teliti dalam melaksanakan tugasnya.

"Saya masih ingat betapa terkejutnya saya apabila pegawai kanan kerajaan yang amat saya kenali itu disabitkan kesalahan pecah amanah dan sebagainya.

"Saya tahu beliau seorang pegawai yang baik dan amat teliti apabila membuat sesuatu kerja," katanya.

Kelmarin, Abdul Aziz, 64, dilepaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pengurus besar KETENGAH, Datuk Alwi Said melakukan pecah amanah melibatkan RM2 juta pada 1999.

Beliau juga didapati bersalah menipu Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed dan para pegawai kementerian berkenaan dengan mendorong mereka supaya mempercayai, melalui satu permohonan pelaburan pada tahun yang sama, bahawa pelaburan KETENGAH yang berjumlah RM9 juta dalam penanaman pokok buahbuahan, penternakan ikan dan projek kemudahan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun adalah berdaya maju.

Ketika membenarkan rayuan Abdul Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata beliau mendapati tidak terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan Abdul Aziz bersubahat dengan Alwi melakukan pecah amanah.

Hakim itu juga berkata, beliau tidak bersetuju dengan andaian bahawa Abdul Aziz telah menipu Menteri Kewangan hanya kerana sepucuk surat yang tidak mengandungi ulasan oleh agensi kerajaan yang berkaitan bahawa projek yang dicadangkan itu tidak berdaya maju, sambil menambah bahawa bukti menunjukkan bahawa keseluruhan proses berkaitan projek berkenaan, daripada pembentangan kertas konsep hinggalah kepada proses mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan, dilakukan secara telus.

"Saya juga masih ingat menteri berkenaan memberitahu saya bahawa usaha menternak ikan koi dan perusahaan menanam pokok buah-buahan, amat menguntungkan.

"Bagaimanapun, tiba-tiba timbul tuduhan berkenaan terhadap Aziz. Nampaknya usaha niaga itu langsung tidak menguntungkan. Tak tahulah saya kenapa," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, walaupun kepincangan dalam bidang keadilan mungkin berlaku, tetapi janganlah terlalu banyak dan rakyat tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa atas kepincangan itu.

"Saya sedih dengan segala penderitaan yang dilalui oleh Aziz. Kepincangan dalam bidang keadilan memang wujud, tapi kita jangan salahkan sesiapa.

"Saya berharap dan berdoa agar tidak berlaku terlalu banyak kepincangan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain