suria

MB minta BPR percepat siasatan pegawai PKNS

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) mempercepatkan proses siasatan terhadap beberapa pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa menerima elaun daripada syarikat pemaju yang menjalinkan kerjasama dengan perbadanan itu.

Beliau yang juga Pengerusi PKNS juga mahu supaya kes tersebut diselesaikan secepat mungkin jika terdapat bukti kukuh.

Abdul Khalid berkata, beliau mahu setiap individu yang terlibat dalam siasatan BPR memberikan kerjasama penuh kerana kerajaan negeri begitu mengambil berat dan peka terhadap siasatan awal berhubung dakwaan itu.

"Pihak kerajaan negeri juga peka terhadap amalan-amalan tidak lazim yang berlaku dalam anak-anak syarikat kerajaan Selangor di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Ini adalah antara sebab mengapa kerajaan negeri berpendapat anak syarikat kerajaan negeri Selangor termasuk PKNS perlu dibersihkan," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil memeberikan kerjasama bagi membasmi gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada terus merebak, tambahnya.

"Menerusi pelantikan Pengurus Besar PKNS yang baru tidak lama lagi, kerajaan negeri juga yakin dan percaya semua amalana tidak sihat yang dilakukan sejak dahulu akan dapat dihapuskan sama sekali".

"Pelantikan baru itu juga akan dapat mencapai matlamat asal bagi memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah dan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, katanya.

Beliau berkata, hal ini adalah bagi meneruskan kesinambungan polisi "Merakyatkan Ekonomi Selangor" seiring dengan perjuangan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat yang mementingkan negeri berkebajikan.

Akhbar hari ini melaporkan, BPR Selangor sedang menyiasat beberapa pegawai kanan PKNS yang didakwa menerima elaun daripada syarikat pemaju yang bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Difahamkan, beberapa pegawai kanan PKNS telah dan akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan elaun tersebut dilakukan selepas perjanjian jual beli (S&P) antara syarikat pemaju swasta dengan PKNS ditandatangani.

Antara yang telah dipanggil ialah Pemangku Pengurus Besar PKNS, Low Siew Moi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain