suria

Mayat lelaki mati dibunuh ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat lelaki dengan kecederaan parah di kepala, dipercayai dibunuh, ditemui di sebuah lorong belakang deretan rumah kedai di Jalan Kampung Pasir Baru di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib berkata mayat lelaki yang tidak diketahui identitinya itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di kepala.

"Mangsa dipercayai berbangsa India dan berusia lewat 20an," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis tidak menemui sebarang senjata dan tiada kesan pergelutan di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum ditinggalkan di lokasi penemuan mayatnya," katanya. Wan Abdul Bari berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau manamana pihak yang kehilangan anggota keluarga dengan ciriciri seumpama mangsa diminta menghubungi balai polis berdekatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain