suria

Kerajaan Pulau Pinang tetap teruskan hasrat pasang papan tanda pelbagai bahasa

PULAU PINANG Kerajaan Pulau Pinang tetap akan meneruskan hasratnya memasang papan tanda jalan menggunakan pelbagai bahasa di kawasan warisan walaupun ia mendapat bantahan pelbagai pihak.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tindakan itu akan diteruskan kerana kerajaan negeri bukan hendak membuang papan tanda yang menggunakan Bahasa Malaysia daripada jalan-jalan tertentu di Pulau Pinang, sebaliknya menambah papan tanda dengan pelbagai bahasa untuk memudahkan pelancong.

"Kerajaan negeri tidak mempertikaikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara malah menghormatinya," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini. "Pada saya, tidak timbul soal mengetepikan Bahasa Malaysia kerana kami bukan hendak membuangnya atau menggantikannya dengan bahasa lain, cuma menambah bahasa yang sesuai dengan tempat untuk kemudahan pelancong pelbagai bangsa yang datang ke Pulau Pinang," katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri akan meneruskan hasrat tersebut walaupun ada bantahan mengenainya ketika ini, antaranya termasuk satu saman yang difailkan oleh Gabungan Graduan Melayu Muda terhadap kerajaan negeri berhubung perkara itu baru-baru ini.

Bagaimanapun Lim berkata sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa tindakan itu tidak boleh dilakukan, maka kerajaan negeri terpaksa akur dengan perintah tersebut.

Beliau juga meminta supaya isu papan tanda ini tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu kerana tindakan menggunakan bahasa Arab serta tulisan Jawi di samping Bahasa Malaysia ketika ini sudahpun dipraktikkan di Kuala Lumpur dan juga Johor.

"Janganlah amalkan 'double standard' dan pilih kasih, ada yang boleh buat, tetapi Pulau Pinang tidak boleh.

"Sekarang sudah masuk zaman moden dan bukan duduk di zaman jahiliah lagi," katanya.

Beliau berkata apa yang hendak dilakukan oleh Kementerian Pelancongan berhubung papan tanda di kawasan pelancongan adalah sama seperti apa yang dilakukan Pulau Pinang, dan beliau tidak nampak kenapa perkara itu perlu diperbesarkan.

"Rakyat Malaysia mungkin ada tradisi dan budaya yang berlainan tetapi terimalah perbezaan itu untuk mewujudkan perpaduan dan bukannya perpecahan.

"Kalau hendak dipertikaikan, tindakan kerajaan pusat menggantikan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris itu lebih serius," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), setelah ia membenarkan permohanan habeas corpus penulis itu.

Katanya keputusan itu akan menjadi teladan kepada kes-kes tahanan ISA yang lain dan perkembangan itu menandakan bahawa ISA bakal berkubur tidak lama lagi.

Beliau seterusnya berharap semua tahanan ISA dalam negara akan dibebaskan kerana ISA tidak lagi sesuai dan perlu dihapuskan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain