suria

Bekas pengawal dipenjara 15 tahun kerana bunuh amah

KUALA LUMPUR:Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang amah enam tahun lalu.

Hakim Suraya Othman memerintahkan supaya tertuduh C. Raman, 40, menjalani hukuman mulai tarikh dia ditangkap pada 23 Jun 2003. Dalam penghakimannya, Suraya berkata beliau hanya mengambil kira pengakuan tertuduh terhadap tuduhan itu tiga hari selepas dia ditangkap.

Bagaimanapun, hakim menolak permohonan peguam tertuduh, Saha Deva A, Arunasalam, agar mengambil kira latar belakang tertuduh yang membesar sejak kecil di sebuah estet di Bagan Datoh, Perak.

Suraya berkata tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa berdasarkan sikap dan perbuatannya menjerut leher mangsa dengan dawai besi dan tali nilon.

Selain itu, kata tertuduh mempunyai kesempatan untuk membantu mangsa yang cedera parah dan masih bernyawa tetapi membiarkan mangsa tanpa memberi pertolongan dan mengambil rantai emas mangsa sebelum memajaknya di kedai emas.

"Perbuatan kamu ini sudah melampau dan tidak berperikemanusiaan, sepatutnya kamu masih boleh berfikir tentang akibat perbuatan kamu," katanya.

Raman didakwa menyebabkan kecederaan kepada Lee Woon Choo, 54, di sebuah banglo mewah di No.89, Jalan UThant, di sini, antara pukul 7.30 pagi dan 9.30 pagi, 11 Sept 2002.

Tertuduh, yang kelihatan sugul, didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim, memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara sekurangkurangnya 15 tahun kepada tertuduh kerana menyebabkan mangsa mati lemas akibat dicekik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain