suria

Tidak kisah jika Norman mahu kahwini Memey

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA:"Saya tidak berminat untuk tahu apa jadi dengan mereka. Nak kahwin, kahwinlah." Demikian luah aktres popular Abby Abadi (gambar) ketika ditanya perasaannya berhubung kenyataan Norman Hakim bahawa dia tidak menolak untuk menjadikan Memey sebagai isteri keduanya.

Tegas aktres berusia 30 tahun itu, apapun yang terjadi, dia tetap akan meneruskan tuntutan cerai daripada suaminya itu secepat mungkin.

"Saya sudah nekad dan rasanya itu adalah keputusan yang tepat.

"Saya tidak mahu komen apa pun tentang hubungannya dengan Memey atau sebarang perancangannya.

"Yang penting, saya ingin dapatkan dokumen perceraian yang saya serahkan kepadanya kelmarin secepat mungkin.

"Saya tahu dia memang 'liat' sikit nak serahkan kembali kepada saya, tetapi saya akan tetap usaha dapatkan semula daripada dia," tegas Abby yang akui sudah kembali tenang sejak adegan 'serang' suaminya di lokasi penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Kata ibu kepada tiga orang anak ini, dia akui kurang bersikap rasional pada hari kejadian, namun sebagai seorang isteri, kata Abby, tahap kesabarannya memang benar-benar tercabar dan turut tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan Norman.

"Saya tidak mampu tahan emosi saya hari itu. Saya minta maaf, saya memang rasa bersalah.

"Tetapi perasaan bersalah itu untuk diri saya, bukan untuk dia (Norman). Apa yang saya luahkan hari itu sudah lama saya pendam dalam hati.

"Keluarga dan teman-teman rapat juga menyokong saya untuk teruskan niat saya ini. Saya cuma harap dia berikan kerjasama yang baik untuk selesaikan segera proses perceraian ini. Saya sudah tidak larat nak hadapi semua ini lagi," kata Abby.

Dalam kenyataan terbaru kepada media, Norman akui tidak menolak ketentuan Allah jika ditakdirkan dia dan Memey bertemu jodoh dan sanggup menjadikan pelakon baru itu sebagai isteri keduanya.

Namun begitu, tegas pelakon berusia 32 tahun itu, dia sememangnya ketika ini masih menyayangi isterinya, Abby dan sentiasa berdoa agar rumahtangganya masih dapat diselamatkan.

Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan gagal memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Isnin lalu setelah dokumen yang dikemukakan tidak lengkap, antaranya termasuklah alamat tempat tinggal Norman bagi memudahkan urusan surat-menyurat mahkamah.

Pergolakan rumah tangga pasangan ini mula menjadi perhatian ramai apabila tidak lama dulu Abby pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu.

Namun, aktor itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya kira-kira dua minggu yang lalu dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Aidilfitri pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Norman juga ketika itu turut menafikan khabar angin bahawa dirinya sudah pun bernikah lagi secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand tidak lama dulu dan wanita itu dikatakan adalah Memey.

Lebih memburukkan keadaan rumah tangga mereka ialah apabila Norman ditangkap khalwat bersama pelakon baru Memey pada awal Khamis lalu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang sekitar pukul 3 pagi.

Artikel Lain