suria

Sidang akhbar dibatalkan, Razak sedang sesuaikan diri

Razak dan isterinya, Mazlinda ketika keluar meninggalkan kediaman mereka menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 11.05 pagi.
Razak dan isterinya, Mazlinda ketika keluar meninggalkan kediaman mereka menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 11.05 pagi.
Razak dan isterinya, Mazlinda ketika keluar meninggalkan kediaman mereka menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 11.05 pagi.

PETALING JAYA: "Ayah saya masih sedang berusaha menyesuaikan hidupnya kepada kehidupan sebagai seorang yang bebas selepas dipenjarakan hampir dua tahun," kata Rowena Abdul Razak, 21, anak tunggal kepada Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Baginda (gambar) yang dibebaskan Jumaat lalu daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Rowena berkata, terdapat banyak penyesuaian semula dalam kehidupan seharian yang harus dilakukan oleh ayahnya.

"Beliau sangka beliau dapat menyesuai semula (kehidupan) sebaik sahaja dibebaskan tetapi nampaknya ia akan mengambil sedikit masa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di kediamannya di Bukit Damansara, di sini, kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Rowena berkata, Razak juga mengambil berat tentang kesihatannya, justeru beliau akan tinggal di Malaysia untuk minggu-minggu yang akan datang.

Razak sepatutnya mengadakan sidang akhbar pertamanya selepas dibebaskan pada pukul 9.30 pagi ini di Hotel Maya, Kuala Lumpur namun ia dibatalkan di saat-saat akhir.

Ditanya mengenai pembatalan sidang media tersebut, Rowena berkata ia telah ditangguh ke satu masa yang belum ditetapkan dan keluarganya meminta maaf atas perkara itu.

"Kami minta maaf banyak-banyak atas sebarang kesulitan dan kekeliruan yang timbul mengenai perkara ini (sidang media ditangguh)," katanya.

Di perkarangan rumah Razak, kelihatan sebuah khemah telah dipasang dan meja serta kerusi yang masih belum disusun.

Menurut Rowena, mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran kecil-kecilan untuk datuk dan neneknya, Datuk Abdullah Malim Baginda dan Datin Rohaya Abdullah malam ini.

Kira-kira pukul 11.05 pagi, Razak dan isterinya, Mazlinda Makhzan keluar meninggalkan rumah menaiki sebuah kereta, diikuti Rowena dan neneknya kira-kira 10 minit kemudian.

Wartawan dan jurugambar sudah mula berkumpul di rumah Razak bermula Jumaat lalu untuk mendapatkan komen beliau berhubung pembebasannya.

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan Jumaat lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Artikel Lain