suria

Rais: Kemenangan Obama diharap mampu ubah dasar pentadbiran AS

PUTRAJAYA:Kemenangan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat (As) yang ke-44 diharap mampu mengubah dasar pentadbiran dan perkhidmatan antarabangsa negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, AS diharap dapat mengubah dasar luarnya daripada sebuah negara yang garang dan kasar kepada sebuah negara yang mengiktiraf lunaslunas demokrasi dan diplomatik negara atau dunia baru.

"Terlalu awal bagi kita untuk membuat sebarang tekaan pada masa ini. Bagaimanapun kami di Wisma Putra menaruh harapan supaya pentadbiran dan kepimpinan baru AS akan ada perubahan sebagaimana Obama sendiri memperakukan bahawa dengan tercapainya citacita beliau sebagai Presiden AS akan ada perubahan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Rais menerima sumbangan cek bernilai lebih RM42,000 bagi mangsa taufan Nargis di Myanmar yang berlaku Mei lepas dan gempa bumi di China, Mei lalu melalui Tabung Bencana Kementerian Luar.

Sumbangan itu disampaikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu RM5,840.27 untuk mangsa Nargis dan RM5,840.28 bagi mangsa gempa bumi, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki menyumbang RM1,000 untuk mangsa gempa bumi di China dan Majlis DatukDatuk Negeri Melaka menderma RM30,000 juga bagi mangsa gempa bumi di China.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Malaysia tidak pernah menafikan kebolehan dan keupayaan AS untuk mengepalai bidang persenjataan atau penerokaan teknologi baru namun negara itu perlu menimbangkan keperluan untuk memiliki sifat kemanusiaan yang lebih tinggi.

"Apa yang kita harapkan ialah supaya AS mempunyai permukaan manusia yang lebih untuk dunia dan kita berharap juga supaya hubungan Malaysia Amerika naik kepada tahap yang lebih mesra dan membina, selain menganggap Malaysia sebagai sekutu yang sama dalam masyarakat dunia," katanya.

Beliau berkata, AS juga diharapkan tidak lagi menggunakan kekerasan sematamata atau kedudukan yang tinggi dari aspek pertahanan untuk menyelesaikan sebarang konflik atau persengketaan.

"Kami akan bersedia untuk mencadangkan kepada kabinet agar para pemimpin kita yang ke Amerika selepas ini mengambil masa atau peluang supaya dapat bersuai kenal dengan para menteri atau setiausaha kementerian masingmasing di Amerika agar kedua-dua negara itu sebenarbenarnya dapat bersama melihat dari dekat keutamaan yang diperlukan oleh negeri masing-masing," katanya.

Mengenai hasrat kerajaan Filipina supaya khidmat pasukan pemantau Malaysia di Mindanao dilanjutkan, Rais berkata Malaysia masih belum menerima sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu.

"Urusan permohonan itu belum lagi dibuat secara rasmi dan kami di Wisma Putra belum membuat sebarang keputusan walaupun dijangka hujung bulan ini tempoh perkhidmatan asal akan tamat.

"Ketika ini, saya hanya dapat menyatakan bahawa sekiranya Filipina bersungguhsungguh untuk mewujudkan suasana keharmonian dalam semangat dan persahabatan Asean, kita bersedia untuk menimbang faktor-faktor yang membantu ke arah penyelesaian situasi di Mindanao khususnya yang melibatkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF) dan mereka yang telah menuntut permastautin di kawasan tradisi perkampungan tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Lain