suria

Polis tahan suspek utama kes rompak kedai emas

ALOR STAR:Polis hari ini menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang kes rompakan sebuah kedai emas di Pekan Pokok Sena dekat sini pada 28 Okt lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Star, DSP Mohd Fiesal Libertus Abdullah berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Pekan Langgar kirakira pukul 11 pagi ini.

Katanya polis turut merampas sebuah kereta Proton Iswara dipercayai milik suspek di kawasan berkenaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star untuk siasatan lanjut.

"Suspek berasal dari Sungai Tiang, Pendang dan direman selama tujuh hari mulai ini dan siasatan awal mendapati suspek memiliki 12 rekod jenayah sebelum ini," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Fiesal berkata polis bagaimanapun masih memburu dua lagi suspek berusia 30an yang dipercayai rakan mangsa bagi membantu siasatan kes rompakan berkenaan.

Pada kejadian 28 Okt lepas, tiga lelaki bersenjatakan tiga pucuk pistol melarikan tujuh dulang emas dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di sini yang membabitkan kerugian kirakira RM100,000 dengan hanya mengambil masa dua minit. BERNAMA

Artikel Lain