suria

Polis tahan 14 lelaki dipercayai terlibat perjudian di kafe siber

KUANTAN: Polis menahan 14 lelaki dan merampas 14 komputer yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian di sebuah kafe siber di Jalan Gambang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Jusoff berkata semua yang ditahan dalam serbuan pada pukul 11.30 malam itu ialah dua pekerja manakala selebihnya pengunjung premis itu yang berusia antara 20 dan 50 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis turut merampas wang tunai RM1,000 dipercayai hasil daripada kegiatan perjudian itu.

"Siasatan awal mendapati premis terbabit mempunyai lesen perniagaan yang sah namun dipercayai telah disalahguna bagi kegiatan perjudian haram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Jasmani berkata pemilik premis berkenaan tiada di kafe siber itu ketika serbuan dan polis percaya pemilik terbabit mempunyai kaitan dengan dua lagi premis lain yang diserbu polis pada Oktober lepas di kawasan Air Putih dan Gebeng di sini. BERNAMA

Artikel Lain