suria

Peminat setia Bond tidak akan kecewa dengan Quantum of Solace

UNTUK kali keduanya, aktor Britain Daniel Craig kembali sebagai ejen 007 selepas beroleh kejayaan dalam filem James Bond pertamanya Casino Royale yang meraih kutipan box office, AS$500 juta (RM1.8 billion).

Cabaran beraksi sebagai ejen termasyur di usia 40 tahun membuat Craig tidak teragak-agak merealisasikan Quantum of Solace.

Craig tidak menghampakan peminat-peminat setia Bond walaupun filem Bond kali ini adalah yang terpendek dengan masa tayangan 106 minit dan termahal apabila menelan belanja pembikinan sebanyak £130 (RM793 juta).

Filem Quantum of Solace, khabarnya tampil lebih kejam dengan dipenuhi adegan tembak-menembak, satu adegan pengejaran bot selain babak pertempuran di udara.

Bond kali ini juga dilihat lebih serius dan aggresif.

Ada juga yang berkata, Quantum of Solace bukan lagi filem Bond kerana Craig tidak pernah sekali pun menutur dialog klasik "My name is Bond. James Bond."

Bond tampil dalam Quantum of Solace bukan lagi untuk menyelamatkan dunia daripada genggaman penjahat tetapi membalas kematian Vesper Lynd.

Quantum of Solace adalah siri ke-22 francais filem Bond namun naskah ini bukan dibikin berdasarkan novel Ian Fleming.

Ceritanya juga kedengaran lebih menarik untuk musim ini di mana ianya bermula daripada penamat Casino Royale yang menyaksikan Bond kecewa setelah gagal mencari misteri yang menyebabkan kematian wanita yang dicintainya, Vesper Lynd (Eva Green dalam Casino Royale) dan siapa yang mengkhianatinya.

Hasil siasatannya, Bond berdepan dengan syarikat Quantum yang diketuai oleh Dominic Greene (Mathieu Amalric) dan mendapati Dominic ialah seorang anggota pertubuhan Quantum yang menyamar sebagai pejuang alam sekitar. Sebenarnya, Greene merancang rampasan kuasa di Bolivia bagi menguasai bekalan airnya.

Bond ingin membalas dendam ke atas kematian Vesper Lynd, dan usahanya itu dibantu oleh Camille (Olga Kurylenko), yang juga mahu membunuh Greene.

Penggambaran siri aksi lasak Quantum of Solace dibuat di beberapa lokasi menarik seperti di Itali, Panama, Chile, Mexico, Austria dan United Kingdom. Semua penggamabran memakan masa selama enam bulan. Setiap lokasi memukau pandangan terutama di Colon dan Panama di mana tempatnya sangat menonjol dan ganjil.

Penduduk di sini, menurut Craig, amat ramah dan teruja dengan kehadiran krew filem ini. Siena pula kelihatan seperti sebuah sebuah lukisan yang amat menakjubkan. Gambaran indah dalam filem ini sebenarnya banyak bergantung kepada posisi kamera pengarah filem Marc Foster.

Pengarah filem Marc Forster pernah menolak tawaran untuk mengarah filem ini tetapi kemudian menerimanya setelah bertemu dengan Barbara Broccoli. Marc Forster merupakan pengarah filem Bond pertama yang bukan berketurunan British dan merupakan kelahiran Jerman dan dibesarkan di Switzerland.

Marc adalah seorang pengarah berkaliber variasi yang telah mengarahkan filem seperti Monster's Ball, Finding Neverland dan The Kite Runner dan dia juga seorang pencerita yang hebat dan cukup berpengalaman.

Tidak lengkap 'pemanis' filem Bond tanpa gadis-gadis Bond yang seksi dan jelita. Untuk kali ini, Bond digandingkan dengan pendatang baru dari Ukraine, Olga Kurylenko yang diberi peranan sebagai Camille dan Gemma Arterton sebagai ejen Fields MI6.

Memainkan watak enjen pengintip popular dunia adalah satu tekanan buat Craig kerana beliau dikehendakki melakukan aksi ngeri.

Proses melakukan aksi ini hampir memakan diri apabila beliau mengalami kecederaan ketika proses rakaman dan menyebabkan beliau cedera di bahagian mata kanan dan jari manis tangan kanan.

Jari Craig juga turut terhiris tetapi telah sembuh dan hanya meninggalkan bekas luka sekarang. Manakala kecederaan di bahagian mata menyebabkan beliau terpaksa dijahit sebanyak lapan jarum.

Menurut Craig, watak Bond telah banyak mengubah hidupnya. Katanya, kini dia melihat dunia dengan cara berbeza. Dan salah satu sebab mengapa dia menerima tawaran untuk berlakon sebagai ejen termsyur buat kali kedua kerana inginkan perubahan diri.

Respon yang diberi di seluruh hampir pasti menjanjikan kejayaan filem Bond kali ini kerana masih mengekalkan sajian lama seperti pengarah hebat, pelakon berkaliber, krew dan penulis yang komited.

Ketika preview filem ini di London baru-baru ini, seorang wartawan menulis..."Anda tidak akan dikecewakan tetapi jangan mengharap filem terbaru James Bond setanding dengan Casino Royale."

Lebih 1,500 orang termasuk pengulas, eksekutif syarikat perfileman dan pemberita berbaris di Leicester Square, London untuk menonton filem terbaru itu.

Tapi mampukah Quantum of Solace mengulangi kejayaan filem Bond yang terdahulu? Jika anda peminat filem Bond, jangan lepaskan peluang menyaksikan filem ini yang akan berada di pawagam mulai hari ini, 6 November.

Artikel Lain