suria

Isu 'anak haram': Pembangkang gesa Tajudin kena tindakan

KUALA LUMPUR: Penggunaan perkataan 'bastard' (anak haram) oleh Datuk Tajudin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang dilemparkan terhadap M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat semalam terus menjadi isu yang dimainkan ahli Parlimen pembangkang hari ini.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana tindakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu dianggap menyalahahi peraturan mesyuarat.

"Semalam Pasir Salak kata 'bastard' dua kali kepada Ipoh Barat, macam mana kita boleh benarkan perkara ini berlaku?" katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mahu Perdana Menteri memastikan supaya tindakan Tajudin itu tidak terus berulang pada masa akan datang.

Semalam, dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2009, Tajudin melemparkan perkataan kesat itu setelah Kulasegaran mendakwa bahawa masyarakat India di kawasannya 'benci' kepadanya.

Sementara itu, Kulasegaran yang turut hadir dalam sidang media itu turut kesal dengan kata-kata ahli Parlimen BN itu yang kemudiannya mencabarnya untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka di luar Dewan.

"Apa-apa pun kita selesaikan dalam Dewan. Kita boleh setuju ataupun tak setuju dengan pendapat mana-mana pihak, dia tak sepatutnya menggunakan perkataan kasar tersebut," katanya.

Sementara itu di dalam Dewan, Karpal Singh, (DAP-Bukit Gelugor) mengemukakan Peraturan Mesyuarat 43 dan 44 yang menyentuh mengenai tatatertib di dalam Dewan dan kuasa Speaker untuk mengambil tindakan trhadap ahli Dewan yang melanggar peraturan.

"Tindakan Pasir Salak itu bukan sahaja melanggar etika Parlimen malah lebih daripada itu, dia tak harus tarik balik sahaja.

"Apa yang harus dibuat ialah beliau patut minta maaf atau dirujuk untuk tindakan tatatertib oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," katanya.

Perkara yang dibangkitkan oleh Karpal turut dipersetujui oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Saya sangat bersetuju dengan apa yang dibangkitkan Bukit Gelugor iaitu boleh guna kuasa saya untuk denda Yang Berhormat yang tak ikut peraturan.

"Tapi semalam timbalan saya telah minta beliau untuk tarik balik perkataannya itu, Ipoh barat juga tarik balik...jadi saya anggap perkara ini sudah selesai dan jangan dibangkitkan lagi," katanya.

Artikel Lain