suria

Bekas Ketua Setiausaha bebas tuduhan subahat pecah amanah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan melakukan pecah amanah dan penipuan.

Semasa membebaskannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata tidak ada keterangan menunjukkan bahawa dia memberi tekanan kepada pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Alwi Said, untuk mengeluarkan dana tanpa kelulusan.

Abdul Aziz dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 2005 kerana bersubahat dengan Alwi melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di sini.

Beliau juga dikenakan hukuman penjara lima tahun lagi kerana menipu Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed melalui surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di pejabat Kementerian Kewangan di sini.

Hukuman tersebut berjalan serentak.

Atas tuduhan pertama, Mohamad Zabidin berkata walaupun wujud syak wasangka yang kukuh bahawa Alwi melakukan pecah amanah atas desakan Abdul Aziz namum ia tidak dapat diterima sebagai keterangan.

Tuduhan kedua pula, katanya proses keseluruhan berkaitan dengan kelulusan projek itu dilakukan secara telus dengan pengetahuan sepenuh oleh Lembaga Ketengah.

"Oleh itu adalah salah untuk menyatakan bahawa Menteri Kewangan dipujuk untuk meluluskan projek tersebut kerana fakta-fakta ini tidak tercatat dalam surat yang dihantar kepada kementerian," katanya.

Abdul Aziz kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kepada Tuhan kerana kebenaran akhirnya terbukti.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulifli Ahmad berkata beliau akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum memutuskan untuk membuat rayuan.

Abdul Aziz diwakili oleh peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Saseedharan Menon. BERNAMA

Artikel Lain