suria

Azalina: Papan tanda pelbagai bahasa di lokasi tertentu sahaja

KUALA LUMPUR:Kementerian Pelancongan bertanggungjawab ke atas pemasangan papan tanda penerangan pelancong dalam beberapa bahasa di lokasi tertentu sahaja, kata Menterinya Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata pelancong asing bukan sahaja bergantung kepada papan tanda pelancong yang dipasang itu untuk mendapatkan maklumat, malah boleh memperolehinya daripada risalah pelancongan dalam beberapa bahasa yang disediakan kementerian itu.

Katanya, walaupun demikian bahasa Melayu, masih kekal digunakan sebagai bahasa rujukan utama.

"Cadangan supaya mempelbagaikan bahasa pada papan tanda jalan dan namanama tempat merupakan satu usaha baik yang perlu diadakan demi meningkatkan jumlah pelancong asing ke Malaysia.

"Namun begitu, kerajaan tidak pernah berkompromi dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Azmi Khalid (BNPadang Besar) berhubung cadangan mempelbagaikan bahasa pada papan tanda jalan dan namanama tempat untuk kemudahan pelancong.

Sebagai contoh, sehingga Jun 2008, negara telah menerima 99,032 pelancong dari beberapa negara Asia Barat dan golongan itu dikenalpasti sebagai pelancong berpotensi besar dalam menyumbang kepada pendapatan negara menerusi aktiviti membelibelah.

Sehubungan itu, beliau berkata adalah wajar untuk mempelbagaikan papan tanda serta nama tempat dalam bahasa Arab untuk tarikan pelancong dari Asia Barat yang gemar berkunjung ke kawasan membelibelah sekitar KLCC dan Bukit Bintang.

Azalina turut menjelaskan bahawa pemasangan papan tanda jalan tertakluk kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran. BERNAMA

Artikel Lain