suria

Vijayaratnam bunuh diri?: Tak masuk akal, kata adik

ANGGOTA polis mengusung mayat mendiang Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr S. Vijayaratnam, 58, yang ditemui mati di hadapan kliniknya di Bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan untuk dibawa ke hospital untuk bedah siasat semalam. Mendiang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan miliknya itu. --fotoBERNAMA
ANGGOTA polis mengusung mayat mendiang Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr S. Vijayaratnam, 58, yang ditemui mati di hadapan kliniknya di Bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan untuk dibawa ke hospital untuk bedah siasat semalam. Mendiang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan miliknya itu. --fotoBERNAMA
ANGGOTA polis mengusung mayat mendiang Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr S. Vijayaratnam, 58, yang ditemui mati di hadapan kliniknya di Bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan untuk dibawa ke hospital untuk bedah siasat semalam. Mendiang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan miliknya itu. --fotoBERNAMA

SEREMBAN: Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr S. Vijayaratnam, yang ditemui mati di hadapannya kliniknya di sini kelmarin, dipercayai terjatuh ketika membuat kerja mengukur di bahagian bumbung bangunan tiga tingkat itu, kata adiknya S. Jothiratnam.

Sambil menolak sebarang tanggapan kononnya Vijayaratnam membunuh diri, beliau berkata, abangnya itu tidak mungkin melakukan perbuatan tidak masuk akal itu.

Ketika ditemui di kediaman mendiang di Jalan Datuk Klana Ma'amor di sini, Jothiratnam, 49, seorang pensyarah sambilan, berkata, polis menemui pita pengukur di bumbung bangunan itu.

"Abang saya biasanya akan membuat sendiri kerja pengubahsuaian bangunan itu. Saya yakin dia terjatuh akibat terpijak lantai yang tidak rata ketika melakukan kerja mengukur," katanya.

Pada 12.15 tengah hari kelmarin, Vijayaratnam, 58, ditemui mati di hadapan kliniknya di bangunan Vijaya Mahal, Jalan Tunku Hassan di sini.

Sebelum kejadian itu, beliau dikatakan meminta kunci daripada seorang pembantu kliniknya untuk memeriksa tingkat dua bangunan yang bakal disewakan sebelum naik ke tingkat atas premis berkenaan.

Jothiratnam berkata, andaian serong pihak tertentu itu menyebabkan keluarga mendiang terutama isterinya, Datin T. Anucia tertekan dan tidak selesa.

"Orang memang suka cakap bukan-bukan tetapi saya percaya mendiang tidak akan melakukan perbuatan itu, apatah lagi, dia tidak mempunyai sebarang masalah," kata Jothiratnam, yang baru pulang dari Rom, Itali.

Dalam pada itu, laporan bedah siasat ke atas mayat Vijayaratnam mendapati punca kematiannya itu akibat mengalami kecederaan yang pelbagai dan hentakan kuat di kepala.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata, laporan itu diterima hari ini daripada Hospital Tuanku Ja'afar Seremban yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mendiang.

"Bagaimanapun, kita masih lagi menjalankan siasatan dengan memanggil saksi termasuk ahli keluarga dan orang tertentu untuk diambil keterangan mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dan polis masih mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut sehingga siasatan lengkap dan selesai.

Osman turut berharap media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi memastikan siasatan polis berjalan lancar.

Mendiang meninggalkan Anucia dan empat anak iaitu Ashta, 24, Ayra, 22, Seeralan, 13, dan Ahalya, 12.

Sementara itu, Naib Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Datuk Chan Kee Voon berkata upacara pengebumian mungkin dijalankan esok.

"Ini mengikut kata isteri mendiang. Buat sementara waktu, ahli keluarga mendiang sedang menunggu kepulangan dua anak perempuan mendiang yang menuntut di United Kingdom dan Australia," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kediaman mendiang di Jalan Datuk Klana Ma'amor di sini semalam, mendapati orang ramai, saudara-mara dan rakan taulan terus menziarahi keluarga mendiang.

Antaranya termasuk bekas pelari pecut negara yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr M. Jegathesan dan Presiden Barisan Progresif India (IPF), Puan Sri Jevashree Pandithan.

Sementara itu, antara pemimpin Gerakan yang menziarahi keluarga mendiang kelmarin ialah penasihat Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yeik; Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, anggota jawatankuasa pusat Gerakan yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A. Kohilan Pillay dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan Chang Khee Choong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain