suria

Tengku Adnan: Mohd Nor dan Mustafa tidak layak bertanding

SEREMBAN: Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lepas memutuskan Naib Ketua Umno Bahagian Seremban Mohd Nor Awang tidak layak bertanding pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Seremban Ahad ini, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng yang juga anggota jawatankuasa Umno Bahagian Seremban, Mustafa Salim, juga tidak boleh bertanding pada pemilihan itu.

"Kedua-duanya tidak boleh bertanding kerana sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan bersabit kesalahan jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nor dijadual mencabar Ketua Umno bahagian itu, Datuk Ishak Ismail pada pemilihan itu manakala Mustafa bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu.

Dengan keputusan itu, Ishak dijangka mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 1988.

Pada 2 Sept, Mohd Nor yang juga ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua tuduhan merasuah seorang ketua Umno cawangan sebagai dorongan supaya mencalonkannya sebagai ketua Umno bahagian itu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keduadua tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 sementara menunggu perbicaraan yang ditetapkan pada 28 Jan depan.

Mustafa pula didakwa di mahkamah sama tiga hari kemudian atas dua tuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang kontraktor sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit menjual pasir.

Bekas guru yang pertama kali dipilih sebagai Adun pada pilihan raya umum Mac lalu, juga mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM8,000 serta perbicaraan kesnya ditetapkan dua hari dari 26 Feb 2009.

Ishak, 57, ketika dihubungi pula berkata beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain