suria

Polis tembak mati dua disyaki pembunuh upahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing dipercayai suspek kes pembunuhan sepasang suami isteri pada 21 Ogos lepas di Klang, ditembak mati oleh polis di Kampung Tengah, Batu 13 di sini tengah hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua suspek berusia 30an itu yang dipercayai pembunuh upahan, ditembak ketika berbalas tembakan dengan anggota polis kira-kira 12.20 tengah hari.

"Ekoran daripada siasatan kes pembunuhan di Klang, kita dapat mengesan suspek di kawasan ini dan terserempak dengan mereka yang menunggang sebuah motosikal.

"Anggota kita telah mengarahkan mereka berhenti, sebaliknya mereka melepaskan tiga das tembakan ke arah polis menyebabkan polis membalas tembakan dan mengenai salah seorang suspek," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khalid berkata seorang lagi suspek cuba menyerang polis dengan sebilah parang menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Beliau percaya kedua-dua suspek yang dikenali dengan nama Mat Shaari dan Andy itu turut melakukan satu lagi pembunuhan malam semalam berdasarkan penemuan sehelai kemeja T, selipar dan lampu suluh yang mempunyai kesan darah.

"Sampai sekarang kita belum menjumpai mayat mangsa tetapi barang-barang tersebut kita temui di tepi sungai dan nampak ada kesan seret di tepi sungai. Kita syak mayat sudah dibuang ke dalam sungai," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya segera melaporkan kepada polis.

Turut ditemui di tempat kejadian ialah sebutir kelongsong peluru, sepucuk pistol Smith and Wesson .9 mm automatik dan dua bilah parang.

"Kita akan teruskan siasatan mencari mangsa pembunuhan ini dan mengesan lagi keskes pembunuhan yang melibatkan kedua-dua suspek," katanya.

Khalid berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai tempat tinggal dan polis sedang mengesan dalang yang mengupah mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain