suria

PM gembira dengan pakej untuk mengukuhkan ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kata hari ini berkata beliau gembira terhadap langkah yang diambil oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

"(Langkah-langkah yang diumumkan semalam) bertujuan memastikan ekonomi kita tidak menghadapi kesan buruk yang serius berikutan krisis kewangan ketika ini," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata menerusi pakej pengukuhan itu, ekonomi Malaysia akan terus berkembang walaupun peningkatannya tidak setinggi yang diharapkan pada peringkat awal.

Semalam, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion bagi mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaraan global yang semakin mencabar.

Najib semasa mengulung perbahasan Belanjawan 2009 di Dewan Rakyat, berkata langkah-langkah itu merupakan tanda dan bukti kerajaan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat serta merangsang keyakinan sektor swasta.

Penjimatan RM7 bilion daripada subsidi minyak akan disalurkan, antara lain bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah, katanya.

"Saya yakin tindakan yang akan dilaksanakan itu, akan memberi banyak manfaat kepada rakyat," katanya.

Abdullah pada sidang media itu berkata hampir kesemua langkah yang diumumkan semalam memberi rangsangan yang cekap untuk manfaat rakyat.

"Inilah yang menjadi niat dan tujuan kerajaan selama ini. Sebab itu diperingkat awal kita membuat beberapa langkah menyusun semula keutamaan dalam pelaksanaan projek. Ini kerana bagi memjamin rakyat mendapat manfaat yang sebanyak mungkin dalam situasi yang kita hadapi pada waktu ini, kerana yang penting untuk kerajaan ialah nasib rakyat," tegas Abdullah.

Beliau berkata penurunan harga minyak di pasaran dunia membolehkan kerajaan menjimatkan subsidi dan hasil penjimatan itu disalurkan untuk menjayakan rancangan yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kalau kita tidak mengharapkan banyak sangat subsidi, tentulah ada wang untuk tujuantujuan dan keperluan-keperluan lain bagi memenuhi keperluan rakyat," kata Perdana Menteri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain