suria

Obama cipta sejarah, dunia anggap "peluang dan ujian"

UKIRAN menggunakan pasir yang dihasilkan oleh Sudarshan Pattnaik di pantai Puri, India hari ini, tertera ucapan tahniah kepada Senator Barack Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. - foto AP , Wednesday, Nov. 5, 2008. (AP Photo/Biswaranjan Rout)
UKIRAN menggunakan pasir yang dihasilkan oleh Sudarshan Pattnaik di pantai Puri, India hari ini, tertera ucapan tahniah kepada Senator Barack Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. - foto AP
, Wednesday, Nov. 5, 2008. (AP Photo/Biswaranjan Rout)
UKIRAN menggunakan pasir yang dihasilkan oleh Sudarshan Pattnaik di pantai Puri, India hari ini, tertera ucapan tahniah kepada Senator Barack Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. - foto AP , Wednesday, Nov. 5, 2008. (AP Photo/Biswaranjan Rout)

[DIKEMAS KINI, 5 petang] WASHINGTON: Senator Barack Obama mencipta sejarah bergaya dengan memenangi pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) manakala Iran - negara yang pernah dilabelkan oleh Washington sebagai paksi jahat menyifatkan kejayaan senator itu sebagai "peluang dan ujian."

"Pemilihan Obama mengatasi (calon Republikan) John McCain adalah positif," kata Ahli Parlimen Iran terkemuka, Hamid Reza Babai hari ini.

"Obama telah menjanjikan perubahan dan perkembangan ini adalah peluang dan ujian bagi Amerika Syarikat," katanya.

"Kami menunggu untuk melihat perubahan," kata Hamid Reza.

Kata beliau, sepanjang lapan tahun lalu Presiden George W. Bush telah mencetuskan persekitaran menentang AS di seluruh dunia dengan pendekatan ketenteraan dan krisis kewangan.

Obama, 47, turun gelanggang persaingan dengan slogan "Change" mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House berkata, "tempoh lama yang dinanti-nantikan sudah tiba."

"Tetapi malam ini, disebabkan apa yang kita lakukan pada hari ini, dalam pilihan raya ini, pada detik yang bermakna ini, perubahan sudah datang ke Amerika," kata beliau dalam ucapan kemenangan di hadapan kira-kira 240,000 penyokong beliau di Chicago sebentar tadi.

Sebelum ucapan itu, McCain mengaku kalah dalam pemilihan.

Beliau menghubungi Obama untuk mengucapkan tahniah kepadanya, yang berganding dengan Joe Biden selaku calon Naib Presiden.

Obama memperoleh sokongan padu daripada pengundi-pengundi kali pertama dan mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun selain masyarakat kulit hitam dan Hispanik.

Ini kali pertama sejak 1908 AS menyaksikan peratusan keluar mengundi paling tinggi iaitu kira-kira 64 peratus.

Kemenangan Obama mendapat reaksi positif daripada negara-negara besar dan maju termasuk China yang mengalu-alukan pemilihannya sebagai Presiden AS yang ke-44.

Pemimpin-pemimpin dunia juga mengharapkan hubungan dan dasar luar yang lebih dinamik dengan Washingtion.

AS pernah memiliki senator dan gabenor masyarakat kulit hitam tetapi ini kali pertama seorang menjadi presiden.

Setakat 5 petang tadi (waktu Malaysia) Obama memperoleh 349 undi pemilih berbanding pencabarnya Senator John McCain yang mendapat 159.

Obama hanya memerlukan 270 undi pemilih untuk menang jawatan Presiden. Ia diperoleh dalam tempoh lima jam selepas pusat pengundian mula ditutup secara berperingkat-peringkat.

Dari segi peratusan undi, Obama menerima 52 peratus ataupun 57 juta manakala McCain pula 47 peratus ataupun 52 juta. Dengan kemenangan itu Obama akan mengangkat sumpah dan memasuki White House Januari depan.

Dengan kemenangan di Florida, Ohio, Pennsylvania, Virginia dan beberapa negeri lain, Obama merekodkan prestasi yang 'menarik' untuk mengatasi McCain dengan mudah.

Obama, anak kepada pasangan warga Kenya dan ibunya dari Kansas, mendapat perhatian banyak pihak sejak tahun 2004. Pada tahun itu beliau bertanding kerusi Senat.

Selain laluan cerah bagi Obama, parti yang beliau wakili - Demokrat juga memperlihatkan prestasi baik dengan mampu menguasai majoriti di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat - sekali gus mengawal Kongres buat kali pertama sejak 1994.

Bagi pilihan raya anggota Senat, parti Demokrat, yang Obama wakili, juga mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan memperoleh kerusi ketiga daripada penguasaan Republikan, menjadikan majoriti parti itu meningkat kepada 52 daripada 100 kerusi yang diperuntukkan.

Hanya beberapa kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya Dewan Senat kali ini.

Di peringkat awal, bagi tempoh kurang sejam selepas pusat pengundian awal ditutup, McCain berada di depan lebih kelebihan lebih 10 undi pemilih.

Obama juga menang besar di Pennsylvania - salah satu daripada tiga negeri kritikal yang menjanjikan undi pemilih terbanyak.

Kemenangan mutlak di Pennsylvania meletakkan Obama di kedudukan kukuh untuk menuju ke White House.

Beliau juga dikatakan memperoleh sokongan besar etnik kulit hitam, kaum wanita dan masyarakat Hispanik.

McCain terus menerima sokongan penduduk kulit putih dan golongan warga kanan.

BERITA TERDAHULU

KEPUTUSAN SETAKAT INI:

Negeri-negeri diyakini dimenangi McCain:

SOUTH DAKOTA 3

NEBRASKA 4

MISSISSIPPI 6

NORTH DAKOTA 3

UTAH 5

WYOMING 3

LOUSIANA 9

KANSAS 6

TEXAS 34

GEORGIA 15

ALABAMA 9

ARKANSAS 6

KENTUCKY 8

WEST VIRGINIA 5

SOUTH CAROLINA 8

OKLAHOMA 7

TENNESSEE 11

Negeri-negeri diyakini dimenangi Obama:

IOWA 7

OHIO 20

NEW YORK 31

NEW MEXICO 5

RHODE ISLAND 4

MICHIGAN 17

MINNESOTA 10

WISCONSIN 10

CONNECTICUT 7

DELAWARE 3

DISTRICT OF COLUMBIA 3

ILLINOIS 21

MAINE* 4

MARYLAND 10

MASSACHUSETTS 12

NEW HAMPSHIRE 4

NEW JERSEY 15

PENNSYLVANIA 21

VERMONT 3

BERITA TERDAHULU

McGain dari Republikan menang di Kentucky, West Virginia dan South Carolina manakala Obama pula menguasai Vermont, demikian menurut jangkaan awal dikeluarkan oleh media AS sebentar tadi.

Rangkaian CNNdan NBC mendapati negeri tradisi kemenangan Kentucky pergi kepada McCain manakala Vermont pula menjadi milik Obama, lapor Fox dan NBC.

Dari segi sokongan undi pemilih, McCain memperoleh lapan dengan kemenangan di Kentucky dan Obama pula tiga.

BERITA TERDAHULU

Proses pengundian pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) mula ditutup secara berperingkat-peringkat sejak 7 pagi tadi (waktu Malaysia) dengan kemenangan dijangka memihak kepada Senator Barack Obama.

Tinjauan di kalangan pengundi yang telah membuang undi menunjukkan kebanyakan rakyat AS memihak kepada Obama berbanding John McCain dengan melihat krisis ekonomi semasa sebagai isu utama pemilihan kali ini.

Tinjauan saluran televisyen Fox menunjukkan kira-kira 57 peratus pengundi yang telah keluar mengundi mendapati Obama mempunyai hubungan langsung dengan rakyat biasa berbanding sokongan 40 peratus kepada McCain berhubung aspek tersebut.

Pusat-pusat pengundian yang ditutup awal melibatkan sebahagian kawasan di Indiana dan Kentucky, dan ia disusuli di 48 negeri lain dalam tempoh enam jam akan datang (menjelang 1 tengah hari).

Keputusan rasmi awal dijangka diketahui dalam beberapa jam selepas pengundian ditutup.

Bagaimanapun di beberapa kawasan pengundian ditutup menjelang tengah hari ini (waktu Malaysia).

Lebih 100 juta rakyat AS telah mengundi secara berperingkat-peringkat dalam pemilihan yang bersejarah - yang turut dinanti-nantikan dunia - bagi menggantikan Presiden George W. Bush, yang tidak popular di dalam dan luar negara AS.

Bagaimanapun pesaingnya, John McCain pula berikrar akan melakukan kejutan dengan memperolehn kemenangan - muncul sebagai Presiden AS yang ke-44.

Obama dan McCain, senator penggal pertama bertanding kerusi Presiden, mengulangi rekod yang dicipta oleh mendiang Presiden John F. Kenndey pada 1960.

Proses pengundian secara rasmi hari ini bermula di negeri Vermont pada pukul 5 pagi waktu tempatan (6 petang semalam, waktu Malaysia).

Walaupun keputusan pemilihan diketahui hari ini Presiden baru akan mengangkat sumpah pada 20 Januari depan.

Selain pemilihan Presiden, pilihan raya umum ini menyaksikan pemilihan beberapa kerusi Kongres dan Gabenor beberapa negeri.

Siaran CNN menunjukkan pengundi sudah mengundi di bandar Dixville Notch dan Hart's Location di negeri New Hemsphire.

Obama muncul pemenang di kedua-dua bandar berkenaan, yang secara tradisi membuat pengiraan awal pada hari pilihan raya.

Beliau menewaskan McCain dengan 15-6 di Dixville Notch.

Ini kali pertama Dixville Notch memilih calon Demokrat sejak 1968.

Bandar Hart's Location melaporkan kemenangan 17-10 yang turut memihak kepada Obama dan dua lagi kepada calon liberal, Ron Paul manakala calon Bebas Ralph Nader tidak memperoleh sebarang undi dari kedua-dua bandar berkenaan.

Sokongan di Hart's Location lazimnya memihak kepada calon Republik sejak kembali kepada pengundian awal pada 1996.

Pusat-pusat pengundian, yang pertama akan mula ditutup di beberapa bahagian di Indiana dan Kentucky pada pukul 6 petang waktu tempatan (7 pagi esok waktu Malaysia).

Obama, 47, senator penggal pertama dari Illinois, jika menang akan menjadi Presiden pertama AS daripada kalangan masyarakat kulit hitam.

Pungutan suara umum menunjukkan Obama mengatasi McGain di sejumlah negeri yang mencukupi baginya memperoleh 270 undi kemenangan.

Pegawai-pegawai Obama turut berpuas hati dengan keputusan peringkat awal. Pegawai-pegawai di negeri-negeri yang dijangka menyaksikan saingan sengit seperti Florida, Colorado, New Mexico dan North Carolina, melaporkan bahawa lebih sokongan diperoleh oleh Demokrat berbanding Republikan, dengan di beberapa negeri perbezaan undi adalah lebih besar bernading 2004.

Di Colorado dan North Carolina, bilangan undi yang telah dibuang lebih awal adalah lebih banyak berbanding 2004.

Jika McCain, 72, pula jika menang bermakna beliau akan menjadi Presiden pertama paling tua mengetuai White House manakala gandingannya, Sarah Palin bakal mencatatkan sejarah wanita pertama menjadi Naib Presiden.

Bagaimanapun bakal Presiden AS yang baru berhadapan siri krisis - ekonomi, politik dan dasar luar.

Kira-kira 130 hingga 135 juta rakyat AS dijangka mengundi hari ini - peningkatan seramai 10 juta berbanding 2004 dan 25 juta berbanding lapan tahun lalu.

Bush tidak mempertahankan jawatannya kerana perlembagaan negara itu tidak membolehkan penyandang jawatan mengetuai White House lebih dua penggal atau lapan tahun.

Pungutan suara terbaru Wall Street Journal-NBC News Poll meletakkan Obama di paras 51 peratus berbanding McCain 43.

Dalam pada itu, Washington Post-ABC News Poll melaporkan 54 peratus memihak kepada Obama berbanding 43 peratus McCain manakala Rasmussen menyebut sokongan Obama naik mencecah 51 peratus berbanding 46 peratus diperoleh McCain 46.

Pungutan suara terakhir Gallup Daily menunjukkan Obama masih di hadapan dengan 53 peratus berbanding 42 peratus untuk McCain.

Kedua-dua senator tersebut kembali negeri masing-masing awal pagi ini selepas maraton kempen iaitu Obama di OChicago, Illinois manakala McCain di Phoenix, Arizona.

[FAKTA PEMILIHAN PRESIDEN AS]

* Menyediakan undi Electoral College sebanyak 538 membabitkan 50 negeri dan District of Columbia berdasarkan perwakilan di Kongres

* Calon perlu menang 270 daripada undi tersebut

* Di 48 negeri dan Washington, D.C., calon yang memenangi undi popular akan memperoleh keseluruhan pemilih negeri terbabit. Nebraska dan Maine mempunyai sistem proportional dalam pembahagian pemilih

* Pemilih yang dipilih oleh parti politik masing-masing akan membuat dua pilihan - presiden dan naib presiden

* Electoral College akan bertemu di negeri masing-masing pada satu hari Isnin awal Disember. Undi itu akan dikira dalam sesi bersama Kongres pada 6 Januari depan

* Jika tiada calon yang menerima majoriti undi, Dewan Perwakilan akan memilih tiga calon teratas dengan setiap negeri mempunyai satu undi. Jika tiada calon Naib Presiden menerima majoriti, Dewan Senat akan memutuskan antara dua calon

* Dewan Perwakilan pernah memutuskan keputusan pemilihan presiden pada 1800 dan 1824. Senat pernah memutuskan kedudukan naib presiden sekali, pada 1836.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain