suria

Mahkamah Syariah putus perkahwinan kedua Siti Fatimah tidak sah

SITI Fatimah Yacob bercakap dengan suaminya, rakyat Pakistan, Muhammad Abdullah di pekarangan Mahkamah Syarikah Kuala Terengganu Syariah hari ini. foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
SITI Fatimah Yacob bercakap dengan suaminya, rakyat Pakistan, Muhammad Abdullah di pekarangan Mahkamah Syarikah Kuala Terengganu Syariah hari ini. foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
SITI Fatimah Yacob bercakap dengan suaminya, rakyat Pakistan, Muhammad Abdullah di pekarangan Mahkamah Syarikah Kuala Terengganu Syariah hari ini. foto The Star oleh M. AZHAR ARIF

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan perkahwinan seorang nenek, Siti Fatimah Yaacob dengan bekas suami keduanya yang menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah tiga tahun lepas adalah tidak sah kerana tidak mengikut syarak.

Hakim Syarie Shaikh Ahmad Ismail semasa menyampaikan penghakimannya berkata pernikahan Siti Fatimah, 47, dengan Wan Yusof Long, 63, pada 19 Sept 2005 di Besut dianggap sebagai nikah fasik kerana tidak sempurna syarat dan rukun nikah yang ditetapkan hukum.

Beliau berkata, hasil keterangan saksi sepanjang perbicaraan kes itu berlangsung, didapati syarat-syarat sah nikah tidak dipatuhi dengan dua pelanggaran hukum yang jelas semasa akad nikah dilangsungkan sekaligus menyebabkan pernikahan itu tidak sah.

"Semasa akad nikah dijalankan, mengikut keterangan saksi, Siti Fatimah tidak menjawab ketika imam yang berkenaan bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak untuk berkahwin dengan Ayah Wan (Wan Yusof) sebaliknya hanya mengangguk.

"Saksi tidak mendengar Siti Fatimah melafaz keizinan nikah sedangkan mengikut kitab seorang wanita yang sudah berkahwin mesti melafazkan keizinan nikah dengan jelas," katanya.

Sehubungan itu, ia merupakan satu pelanggaran syarat sah nikah yang jelas dan disifatkan perkahwinan fasik.

Hakim Shaikh Ahmad berkata kadi syarie dari Majlis Agama Islam Songkla, Thailand yang bertanggungjawab menikahkan responden dengan bekas suami keduanya juga tidak diiktiraf untuk menjalankan akad nikah di negeri ini sedangkan mengikut syarat sah nikah, kadi terbabit mestilah diiktiraf sebelum melakukannya.

Sehubungan itu, beliau berkata mahkamah tidak dapat memberikan pengiktirafan undang-undang terhadap perkahwinan kedua Siti Fatimah itu dan mengarahkannya supaya menjalani tempoh edah tiga kali suci dari tarikh penghakiman dibacakan pada hari ini.

"Mahkamah juga mengarahkan supaya kamu menyerahkan surat nikah dari Majlis Agama Islam Songkla kepada mahkamah untuk dibatalkan dan kos perbicaraan ditanggung oleh masing-masing," katanya.

Siti Fatimah berkahwin dengan Wan Yusof dari Kampung Sekati, Manir, di sini berwali hakim di Besut dan kemudian diberi sijil pernikahan dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla.

Siti Fatimah yang berasal dari Bukit Payong, Marang, berkahwin kali kedua selepas suaminya meninggal dunia. Sementara menunggu pengesahan perkahwinannya dengan suami kedua dikeluarkan majlis agama Islam negara jiran, beliau berkahwin sekali lagi dengan lelaki lain.

Dia mempunyai tujuh anak dan lima cucu hasil perkahwinan pertama dan dipercayai menggunakan sijil kematian suami pertamanya untuk berkahwin dengan suami ketiga Muhamad Abdullah @ Mihandher Singh di Masjid Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, peguam yang mewakili Siti Fatimah, Anuwar Mohd yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau akan menasihati anak guamnya supaya mematuhi keputusan itu.

Ditanya mengenai status pernikahan ketiga anak guamnya ekoran keputusan mahkamah itu, beliau berkata Siti Fatimah akan memfailkan permohonan pengesahan pernikahan itu dalam jangka masa terdekat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain