suria

Kurangkan caruman KWSP dibenar, pinjaman kenderaan kakitangan awam dinaikkan

KUALA LUMPUR: Sebagai langkah untuk menambah pendapatan boleh guna pekerja, kerajaan akan membenarkan pekerja mengurangkan potongan caruman pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sukarela sebanyak tiga peratus, selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009.

Dengan penurunan ini, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus iaitu 12 peratus bagi majikan dan 8 peratus bagi pekerja, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Seseorang yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM60 sebulan, manakala seseorang yang berpendapatan RM6,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM180 sebulan.

"Sekiranya semua pencarum memilih untuk mengurangkan caruman, jumlah yang terlibat adalah RM4.8 bilion setahun.

"Sekiranya kita mengandaikan bahawa hanya 50 peratus daripada pencarum akan menggunakan kemudahan ini, perbelanjaan penggunaan swasta dijangka meningkat sebanyak RM2.4 bilion," kata Najib ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Pada masa ini, caruman majikan kepada KWSP adalah 12 peratus manakala caruman pekerja adalah 11 peratus.

Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, kerajaan akan meningkatkan had kelayakan pinjaman kereta bagi penjawat awam seperti berikut:

+ Bagi gred JUSA, had kelayakan dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000;

+ Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000; dan,

+ Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Penjawat awam juga akan diberi kebenaran untuk mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder di mana hak milik strata belum dikeluarkan, kata Najib.

Katanya, tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun.

"Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun.

"Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam.

"Sebagai contoh, seorang penjawat awam yang kini mempunyai pinjaman sebanyak RM190,000 selama 25 tahun, dan telah pun menjelaskan pinjaman beliau selama 10 tahun, dengan melanjutkan tempoh pinjamannya, beliau dapat mengurangkan ansuran bulanannya daripada RM1,000 sebulan kepada RM820 sebulan iaitu lebihan pendapatan boleh guna sebanyak RM180 sebulan," katanya.

Najib berkata kerajaan, melalui Bank Negara, juga akan menyaran dan menggesa pihak bank mengambil inisiatif untuk memberi kelonggaran dan menstrukturkan semula pinjaman bagi peminjam-peminjam yang memerlukan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain