suria

Kemenangan Obama beri pengertian besar kepada dunia - Rais

PUTRAJAYA: Kemenangan Barack Obama sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat dalam pilihan raya Presiden hari ini memberi pengertian besar dan meluas kepada bukan sahaja rakyat Amerika tetapi juga kemanusiaan sejagat, kata Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim.

"Kemenangan Obama dilihat sebagai membawa perubahan dan suasana yang menggalakkan dalam nilai dan percaturan dunia antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengucapkan tahniah kepada Obama, Rais berkata, Malaysia mengalu-alukan kemenangan beliau sebagai obor baru dalam perjuangan mengisi tuntutan demokrasi.

"Sebagai presiden kulit hitam pertama di Amerika kemenangan beliau memberi pengertian positif yang baru bahawa rakyat Amerika sudah boleh menentukan pemimpin negara mereka tanpa mengira warna kulit, agama atau kepercayaan.

"Kemenangan Obama yang mewakili harapan tinggi untuk rakyat Amerika juga membawa pelbagai kemungkinan baru yang positif dalam bidang hubungan antarabangsa, khususnya hubungan dua hala Amerika Syarikat-Malaysia buat tahun-tahun hadapan," kata Rais.

Beliau juga berkata, Malaysia akan terus mengekal dan meningkatkan usaha-usaha dua hala yang harmonis yang saling berfaedah dengan pentadbiran Amerika yang baru.

Malaysia juga katanya menaruh harapan semoga pentadbiran Obama akan memberi perhatian yang lebih setimpal kepada negara-negara membangun dalam konteks kemanusiaan, pembangunan dan hubungan pelbagai hala.

"Malaysia juga berharap semoga kerajaan pimpinan Obama lebih prihatin terhadap kedaulatan domestik negara-negara kecil serta tidak mengutamakan kekuasaan dan kekerasan sebagai alat penyelesai pelbagai masalah dunia," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain