suria

Eurocopter: Pengerusi PAC nafi dakwaan Kit Siang

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid menolak dakwaan pembangkang kononnya jawatankuasa itu tidak menjalankan siasatan terperinci berhubung pembelian 12 helikopter Eurocopter EC275 bernilai RM1.6 bilion.

Dalam penjelasannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut menjelaskan bahawa laporan siasatan PAC mengenai pembelian helikopter itu belum dikemukakan kepada anggota Dewan kerana ia belum ditaip sepenuhnya oleh pihak urus setia Parlimen.

"Jadi bukan tujuan kita tidak mahu mengemukakan laporan tetapi akan dikemukakan secepat mungkin kerana memerlukan masa untuk menaip dan sebagainya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azmi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar daripada Barisan Nasional berkata demikian sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 kononnya PAC tidak menjalankan siasatan secara terperinci dalam pembelian helikopter itu dan mempersoalkan mengapa PAC belum mengemukakan laporan mengenai pembeliannya kepada Dewan Rakyat.

Azmi berkata, PAC tidak sepatutnya berdebat dengan anggota pembangkang kerana jawatankuasa itu hanya menjalankan siasatan mengikut prosedur dan melihat sekiranya terdapat sebarang kelemahan dalam pembelian helikopter itu.

"Saya tidak mahu berdebat dengan Ipoh Timur (Lim) bahawa kami tidak menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Kami bukan berdiri di sini untuk menegakkan bagi pihak kerajaan tetapi bagi memihak kepada PAC kerana nama PAC sudah dicemarkan oleh Ipoh Timur," katanya.

Beliau berkata, PAC telah membuat keputusan untuk menyiasat pembelian Eurocopter seminggu sebelum Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya PAC melihat isu berkenaan dan ia bukan diarah oleh Kabinet.

Isnin lepas, PAC, yang turut mempunyai wakil pembangkang, memutuskan bahawa tiada penyelewengan daripada segi prosedur dalam pembelian 12 helikopter Eurocopter itu.

Azmi berkata, berdasarkan kepada tinjauan selama dua minggu di peringkat teknikal dan kewangan, didapati prosedur pembelian memang mengikut tatacara yang ditentukan dan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain