suria

Salleh: Pak Lah wajar diberi peranan dalam Umno selepas serah kuasa

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangkan supaya Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberikan "peranan" dalam parti sebaik saja beliau menyerahkan kuasa kepada penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac tahun depan.

Beliau berkata Abdullah seorang tokoh yang mempunyai pengalaman luas, konsisten dan berpandangan jauh dalam usahanya membawa negara kepada kejayaan lebih besar termasuk pelaksanaan rancangan Pembangunan Koridor Sabah.

"Walaupun beliau diserang dari kiri dan kanan, Pak Lah tetap "tenang" dan ini sebenarnya antara sifat-sifat seorang tokoh agung.

"Kita mesti belajar dari pengalaman tidak meminggirkan presiden-presiden parti (Umno) lepas demi menjamin kesinambungan...kestabilan dan sokongan kepada parti sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Salleh, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno tiga penggal, berkata ini dilakukan di negaranegara lain bagi membolehkan pemimpin lalu menyumbang idea demi kebaikan parti politik masing-masing.

"Kita jangan lupa bahawa Pak Lah, selaku Perdana Menteri, telah memimpin Umno dan BN untuk turut memenangi dua pilihan raya umum yang lepas.

"Memang senario politik pada pilihan raya 2004 berbeza dari pilihan raya umum lalu, namun di bawah pimpinan berwibawa Pak Lah, BN memenangi pilihan raya umum 2008," katanya.

Salleh berkata Umno perlu disusun semula bagi memberi ruang kepada presiden-presiden lalu memain peranan dalam parti.

"Saya percaya Pak Lah belum bersara dari politik kerana beliau masih ketua Umno Bahagian Kepala Batas dan anggota Parlimen kawasan itu," kata beliau.

Mengneai Najib, Salleh berharap rakyat dan anggota Umno memberi sokongan padu kepada pengganti Abdullah itu.

Salleh, yang kembali mengetuai Umno Bahagian Kota Belud, setelah menumpaskan penyandang Datuk Musbah Jamli, ahli dewan negeri Tempasuk, dalam mesyuarat perwakilan bahagian Ahad lepas, berkata kemenangan beliau itu menunjukkan bahawa demokrsi berjalan baik dalam parti itu. BERNAMA

Artikel Lain