suria

Razak temui wartawan Khamis ini

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda akan mengadakan sidang media berhubung pembebasannya daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, Khamis ini.

Sidang media ini adalah yang pertama sejak beliau dibebaskan daripada tuduhan itu, Jumaat lalu.

Perkara tersebut diberitahu oleh anaknya, Roweena kepada sekumpulan wartawan yang menunggu di luar rumahnya sejak jam 12 tengah hari semalam.

Roweena yang keluar berpayung dalam hujan dari rumahnya kira-kira jam 4.20 petang memberitahu, bapanya meminta maaf kerana membuat wartawan menunggu.

"Beliau (Razak) minta maaf. Beliau sangat sibuk hari ini dan tidak guna menunggu beliau (di rumah) kerana sidang media tidak akan diadakan hari ini (semalam).

"Bapa saya akan mengadakan sidang media pada Khamis ini jam 9.30 pagi di Hotel Maya (Kuala Lumpur)," katanya di sini, semalam.

Sepanjang kehadiran wartawan, Razak kelihatan pulang dua kali ke rumahnya iaitu pada jam 2.20 petang untuk mengambil bapanya, Datuk Abdullah Baginda dan menghantarnya pulang semula kira-kira dua jam kemudian.

Wartawan dan jurugambar sudah mula berkumpul di rumah Razak bermula Jumaat lalu untuk mendapatkan komen beliau berhubung pembebasannya.

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan Jumaat lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi. Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Artikel Lain