suria

Pengarah minta hukuman diringankan kerana ulang tahun perkahwinan

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pengurupan wang yang mengaku bersalah atas kesalahan mengambil pekerja tanpa kebenaran bertulis daripada Bank Negara Malaysia merayu kepada mahkamah agar meringankan hukuman ke atasnya kerana hari ini adalah hari ulang tahun perkahwinannya.

"Saya juga langsung tidak beritahu isteri saya bahawa saya nak datang ke mahkamah hari ini," katanya secara bersahaja menyebabkan hadirin di Mahkamah Sesyen tertawa.

Raja Nasirudeen Bukhari, 33, didakwa atas kesalahan gagal mengemukakan jumlah pekerja yang sebenar semasa membuat permohonan mendapatkan lesen pengurup wang dari Bank Negara Malaysia.

Rakannya Sahmeen Anverdeen, 27, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 1B (f) Akta Pengurupan Wang 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,OOO jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan, Raja Nasirudeen, yang mewakili syarikatnya N.R. Extrade Sdn Bhd, didakwa telah membuat pertukaran dalam butirbutir jumlah dan keterangan pekerja tanpa memperoleh kebenaran bertulis dari Bank Negara.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa di bawah Seksyen 18 (f) Akta Pengurupan Wang 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.

Mereka didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di unit 5b, City Car Park, Jalan Masjid India, Dang Wangi di sini pada pukul 2.30 petang, 21 Julai lalu.

Hakim S. M. Koomathy Suppiah kemudian menetapkan hukuman sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia, Fahmi Abdul Moin manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain