suria

Paderi Katolik Australia rayu 3 pengebom Bali tidak dihukum mati

PETALING JAYA: Lawatan Putera Charles ke Indonesia dipercayai melewatkan pelaksanaan hukuman mati ke atas tiga pengebom Bali lima tahun lalu manakala paderi Katolik Australia pula merayu agar mereka tidak dihukum mati.

Paderi Timothy Harris dari Brisbane, pada minggu lalu telah melawat bekas kariah yang didapati bersalah mengedar dadah, Scott Rush, yang kini menunggu hukuman mati di Bali, dan Michael Czugaj yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang sama.

Kerajaan Australia meletakkan nyawa rakyat dalam senarai hukuman mati dengan menyokong pelaksanaan hukuman ke atas pengebom-pengebom bali - Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron, kata Harris yang dipetik oleh akhbar Australia, The Age.

Kata Harris, menyokong hukuman mati ke atas tiga pengebom Bali itu hanya akan menyukarkan kerajaan Australia dalam membantah hukuman mati membabitkan kes-kes lain.

"Kerajaan kita perlu bercakap dengan konsisten mengenai hukuman mati ke atas semua (kes)," kata beliau kepada AP Australia.

"Ia tidak boleh mengatakan 'Selamatkan Scott dan bunuh pengebom berani mati'. Ia menyatakan yang ini dan saya percaya pada akhirnya ia meletakkan nyawa Scott dalam bahaya," kata beliau.

Kata Harris,pengebom-pengebom Bali harus berhadpaan dengan hukuman berat tetapi hukuman mati bukan jawapannya.

Dalam pada itu, akhbar The Sydney Herald Tribune Australia pula menyebut pihak berkuasa menunggu sehingga Putera Charles dari Britain meninggalkan negara itu esok sebelum melaksanakan hukuman mati.

Semalam Mahkamah Agung Indonesia berkata rayuan terbaru saat-saat akhir daripada keluar pengebom Bali itu tidak akan menyelamatkan mereka daripada hukuman mati.

ABC melaporkan spekulasi bahawa pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga Putera Charles menamatkan lawatan ke Indonesia esok.

Malah, katanya, pihak berkuasa Indonesia juga mahu menggunakan liputan meluas media pemilihan Presiden AS, yang sedang berlangsung, yang dipercayai akan mengalihkan tumpuan ke atas hukiman mati.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara di Jabatan Kehakiman dan Hak Asasi, Untung Sugiyono berkata, anggota keluarga boleh mengunjungi mereka buat kali terakhir.

"Mereka boleh melawat mereka buat kali terakhir apabila tiba masa yang sesuai," kata beliau menjawab dakwaan bahawa keluarga ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan melakukan kunjungan kali terakhir.

BERITA TERDAHULU:

Bom Bali: Rayuan saat-saat akhir tidak ubah hukuman mati 3 militan

JAKARTA: Tiga militan yang didapati bersalah terbabit dalam kejadian pengeboman Bali, lima tahun lalu, telah melalui kesemua opsyen perundangan dan tidak boleh menghalang hukuman mati daripada dilaksanakan, kata seorang hakim Mahkamah Agung hari ini.

Usaha saat-saat terakhit untuk mencabar aspek perundangan oleh keluarga Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron "tidak akan mengubah ataupun melewatkan pelaksanaan hukuman," kata Djoko Sarwoko.

Mereka dijadual menjalani hukuman dalam waktu terdekat bulan ini.

Ketua Pendakwa Raya tempatan, Muhammad Yamin berkata, mereka telah dipindahkan ke bilik pengasingan di penjara Nusakambangan dan lokasi menjalani hukuman telah disediakan.

Katanya, mereka akan menjalani hukuman pada waktu yang sama tetapi dilokasi yang berlainan.

Langkah-langkah itu dan kehadiran dua ambulans dilihat sebagai petanda pendakwa raya boleh menjalankan hukuman mati pada bila-bila masa.

Sejak Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan tahap keselamatan bimbang pelaksanaan hukuman akan mencetuskan kekacauan.

Keputusan pelaksanaan kepada mereka yang terdiri daripada Imam Samudra dan adik-beradik, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI), sudah dimaklumkan.

"Keselamatan lebih ketat berbanding sebelum ini, lebih ramai anggota polis ditempatkan, oleh itu masa pelaksanaan hukuman semakin dekat," kata jurucakap Peguam Negara, Jasman Pandjaitan kelmarin.

Justeru ketiga-tiga mereka telah ditempatkan di bilik pengasingan.

Minggu lalu kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa hukuman ke atas mereka akan dijalankan awal bulan ini.

Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.

Siri rayuan mereka telah pun ditolak oleh mahkamah.

Malah, kesemua mereka sebelum ini enggan memohon pengampunan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas Mahkamah Agung menolak rayuan terakhir mereka.

Hukuman itu dilaksanakan setelah lima tahun Imam Samudra, Amrozi dan Ali didapati bersalah kerana melancarkan serangan bom ke atas kelab malam di Kuta, Bali yang meragut 202 nyawa pada Oktober 2002.

Mereka kini ditahan di penjara yang dikawal ketat di Pulau Nusakembangan iaitu tempat sama hukuman mati akan dijalankan.

Ketiga-tiga mereka bertegas untuk mati syahid kerana menganggap apa yang dilakukan oleh mereka sebagai suatu jihad.

Artikel Lain