suria

Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri Larut tetap diadakan Sabtu ini

IPOH: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Larut akan tetap mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing Sabtu ini mengikut jadual walaupun mesyuarat bahagian yang sepatutnya berlangsung keesokannya akan ditangguhkan. Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap bahagian itu akan diteruskan walaupun kemelut yang melanda bahagian itu masih belum mendapat kata putus.

Beliau berharap mesyuarat perwakilan tiga sayap itu akan berjalan lancar dan meminta semua ahli Umno bahagian bertenang sehingga Majlis Tertinggi (MT) membuat keputusan berhubung isu yang melanda bahagian berkenaan.

"Diharap ahli tidak sekali-kali menyalahtafsirkan apa yang berlaku ini bagi mengelak perpecahan di dalam parti sendiri...kepada individu-individu yang cuba mengeruhkan keadaan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya saya harap dapat menghentikan segera sikap ini yang saya anggap sengaja memanaskan suasana politik bahagian," katanya pada sidang akhbar di pejabat Umno Perak di sini.

Umno bahagian berkenaan kelmarin menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu selain memohon penangguhan mesyuarat perwakilannya ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian.

Raja Ahmad Zainuddin berkata mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Larut akan diadakan di Dewan Perbandaran Selama bermula 8 pagi manakala mesyuarat Puteri akan diadakan di Dewan Felda Ijok bermula pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata mesyuarat Pemuda pula akan berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Sajak, Batu Kurau bermula pukul 2 petang. BERNAMA

Artikel Lain