suria

Mayat lelaki berbungkus kain cadar ditemui di ladang kelapa sawit

BATU KAWAN: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbungkus kain cadar, dengan tangan serta kakinya terikat dengan tali di ladang kelapa sawit Alur Lancang, Bukit Tambun di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemui oleh seorang pekerja ladang berkenaan pada kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata ketika ditemui, lelaki berseluar panjang berwarna hitam tanpa pakaian yang dipercayai dari kaum India itu, dibungkus dengan cadar berwarna merah.

"Terdapat beberapa kesan kecederaan di kepala lelaki itu, yang dipercayai akibat pukulan kuat dengan senjata tumpul. Selain itu terdapat juga kesan luka di tangan dan jarinya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Katanya lelaki berambut panjang yang berumur sekitar 30an itu dipercayai dibunuh di tempat lain beberapa jam sebelum mayatnya ditemui di kawasan itu berikutan keadaan mayat yang masih elok.

Shafien berkata mayat itu sudah dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS melalui talian 04-5824222. BERNAMA

Artikel Lain