suria

Akta Perlindungan Saksi dibentang di Dewan Rakyat sesi ini

KUALA LUMPUR: Akta Perlindungan Saksi, yang bertujuan melindungi orang awam yang memberi maklumat kepada pihak berkuasa termasuklah kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat sesi ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata akta itu akan membantu melindungi pemberi maklumat yang ketika ini dilindungi mengikut akta tertentu seperti Seksyen 53 Akta Pencegahan Rasuah.

Mohamed Nazri berkata akta baru itu perlu kerana akta sedia ada hanya sekadar tidak menzahirkan kepada awam siapakah sebenarnya pemberi maklumat itu dan melindungi identiti mereka sehingga sampai waktu diperlukan untuk pendakwaan di mahkamah.

"Kerajaan akan menggubal Akta Perlindungan Saksi untuk melindungi pemberi maklumat yang akan menjadi saksi di mahkamah dan jika tiada sebarang masalah, draf ini akan dibentang pada sesi ini dan berharap ia akan diluluskan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau).

Chua ingin tahu sejauh mana BPR melindungi orang awam yang memberi maklumat kepada agensi itu bagi menggalakkan lebih ramai orang tampil memberikan maklumat dan apakah dasar atau strategi baru yang akan diamalkan kerajaan untuk mencegah amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor awam, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

Mohamed Nazri berkata selain menambah 5,000 lagi kakitangan kepada BPR, kerajaan akan menjadikan agensi kerajaan itu sebagai Suruhanjaya untuk memastikan agensi berkenaan mempunyai segala kuasa dan kebebasan dalam menjalankan tangunggjawab mereka.

"Ini akan memberikan segala kuasa kepada BPR untuk mengambil pekerja tanpa perlu meminta kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meluluskan jawatan yang dipohon.

"Perkara ini akan dapat dilakukan apabila Rang Undang-Undang Suruhanjaya Anti Rasuah dibentangkan pada sesi ini," kata Mohamed Nazri, menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang.

Menjawab soalan tambahan Ismail Kasim (BN-Arau) mengenai usaha BPR untuk memastikan kualiti penyiasatan dalam meningkatkan kualiti pendakwaan, beliau berkata kerajaan akan berusaha menjadikan pendakwaan kes rasuah sebagai satu kepakaran bagi sebilangan kakitangan dengan tumpuan tugas menjurus kepada kes pendakwaan sahaja.

"Walaupun BPR tidak terbabit secara langsung dalam proses pendakwaan, namun agensi ini boleh membantu pendakwaan dengan menjalankan siasatan yang berkualiti sekali gus membantu lebih ramai pesalah rasuah didakwa di mahkamah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain