suria

60 cedera dalam dua letupan bom di Selatan Thai

BANGKOK: Lebih 60 orang cedera apabila dua butir bom yang ditanam oleh puak disyaki pemberontak meletup di Sukhirin, wilayah Narathiwat berhampiran sempadan Thailand-Malaysia kira-kira 11.15 pagi ini.

Seorang jurucakap tentera berkata anggota keselamatan turut menemui bom seberat 5kg di daerah Rueso, juga di Narathiwat tetapi bahan itu tidak meletup.

Beliau berkata dalam insiden pertama berhampiran sebuah pasar di Sukhirin, polis dan tentera yang dimaklumkan mengenai bom itu segera bergegas ke kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, ketika mereka menutup kawasan terbabit, bom itu meletup dan ramai orang yang berdiri berhampiran mengalami kecederaan... sekurangkurangnya enam orang cedera parah," katanya ketika dihubungi.

Dua minit kemudian, sebutir bom lagi diletupkan di sebuah kedai minum di hadapan pejabat daerah Sukhirin, kata jurucakap itu.

Serangan itu berlaku pada hari kedua penggal baru persekolahan. Pada Isnin, bom tepi jalan yang disasarkan kepada anggota tentera yang mengiringi guru ke sekolah, telah meletup tetapi tidak mengakibatkan sebarang ada kecederaan.

Minggu lepas, lapan orang, termasuk tiga anggota tentera, cedera apabila sebutir bom meletup berhampiran sebuah pasar di Yala.

Lebih 3,300 orang meninggal dunia dalam keganasan yang berlaku setiap hari sejak puak disyaki pemisah meneruskan kempen untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang sebahagian besar dihuni masyarakat Islam. BERNAMA

Artikel Lain