suria

Projek angkasawan kedua negara perlu dinilai semula

PETALING JAYA: Program menghantar angkasawan kedua negara Mejar Dr Faiz Khaleed ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dijangka dilaksana pada 2011 atau 2012 mungkin perlu dinilai semula kerana keadaan ekonomi dunia kini tidak menentu, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadhillah Yusof.

Beliau berkata keutamaan program itu perlu dilihat kerana dengan keadaan semasa ada beberapa lagi program lain yang lebih utama untuk dilaksanakan terlebih dahulu.

"Dari segi latihan, Dr Faiz akan meneruskan latihan yang telah dijadualkan untuk memberi kesedaran dan minat kepada generasi muda untuk menguasai ilmu sains dan teknologi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fadhillah berkata terpulang kepada kabinet untuk membuat keputusan sama ada untuk menangguhkan program itu atau menurunkan tahap keutamaannya.

Program Angkasawan Negara bermula pada tahun 2003 apabila kerajaan Rusia bersetuju menghantar rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM buatan negara itu bernilai RM3.42 bilion.

Angkasawan pertama negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berada di ISS selama 12 hari Oktober tahun lalu. Kerajaan Rusia telah berjanji membawa seorang lagi angkasawan negara ke ISS. BERNAMA

Artikel Lain