suria

Perompak bersenjata besi larikan barang kemas berharga RM50,000

BALING:Tiga perompak bersenjatakan sebatang besi melarikan barangbarang kemas berharga RM50,000 di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Ketil di sini tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Mat Daud Md Hasan berkata pada kejadian 12.45 tengah hari itu tiga lelaki secara tiba-tiba menyerbu kedai emas berkenaan dan memecah laci pameran barangan emas dengan sebatang besi.

Beliau ketika dihubungi di sini berkata salah seorang anak pemilik kedai emas yang berada dalam kedai berkenaan cedera akibat terkena serpihan kaca yang pecah itu.

Katanya perompak berkenaan cuma memasukkan barangan emas itu ke dalam poket seluar mereka sebelum melarikan diri dengan dua buah motosikal.

Mat Daud berkata rompakan kedai emas itu merupakan kejadian kedua di Pekan Kuala Ketil dalam masa sebulan, di mana sebuah kedai emas bersebelahan dengan kedai itu pernah dirompak sebelum ini.

Sementara itu, pemilik kedai emas itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 60, berkata ketika kejadian, hanya dua anaknya berada di kedai itu. BERNAMA

Artikel Lain