suria

Pembunuhan ala James Bond

BATU PAHAT:Seorang penyaji makanan mati ditembak mati dari jarak dekat selepas dipercayai bertengkar dengan seorang lelaki di sebuah lorong belakang di Taman Nira di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.40 pagi itu, polis percaya mangsa Tan Cha Boh, 54, ditembak dengan pistol jenis Walther PPK, pistol kegemaran agen perisik British yang memegang watak James Bond.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ibrahim Aris berkata polis menemui empat kelongsong kosong jenis 7.65mm di tempat kejadian dan mangsa mati di situ dengan kesan tembakan di bahagian kepala.

Katanya polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh penduduk taman berkenaan yang mendengar bunyi tembakan.

Hasil siasatan awal, kami mendapati mangsa telah bertengkar dengan seorang lelaki sebelum suspek melepaskan tembakan, katanya. Ibrahim berkata penduduk di situ juga melihat seorang lelaki melarikan diri dari lorong belakang dengan menaiki sebuah kereta jenis Kancil.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berkaitan dengan masalah kewangan atau balas dendam.

Sementara itu, dalam kes lain, polis sedang memburu seorang ketua sindiket mencuri motosikal dengan tertangkapnya 11 anggota kumpulan itu dalam operasi khas di daerah Kulai Jaya 15 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zukkefly Yahya berkata suspek berkenaan Mohd Jufri Mohamad atau dikenali sebagai Jeff, 33, dengan alamat terakhir di Felda Taib Andak.

Katanya sindiket itu aktif mencuri motosikal di daerah ini, Seri Alam, Kluang dan Simpang Renggam.

Katanya, hasil tangkap anggota sindiket itu, polis telah menemui 10 buah motosikal curi dan empat rangka motosikal.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya menghubungi polis di talian hotline 07-2212999 atau balai polis yang berhampiran. BERNAMA

Artikel Lain