suria

Karpal: Abdul Razak boleh ditahan dan direman jika pendakwaan kemuka rayuan

PUTRAJAYAPenganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda menghadapi kemungkinan ditahan semula dan direman sementara menunggu keputusan sekiranya pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap pembebasannya, kata peguam Karpal Singh hari ini.

Karpal Singh, yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, berkata pendakwaan boleh membuat permohonan itu mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menghalang Abdul Razak daripada melarikan diri.

Katanya peruntukan itu membenarkan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Razak dan meremannya sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Seksyen itu juga membenarkan pendakwaan mengemukakan permohonan untuk membebaskan Abdul Razak dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan itu, katanya.

Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin pada Jumaat lepas.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya.

Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa memutuskan pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Abdul Razak, mahkamah menerima afidavit Abdul Razak yang mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang menurut mahkamah telah menyangkal dan membatalkan tuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Sementara itu, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev,telah menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menggesa beliau mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Karpal Singh berkata beliau menyerahkan surat itu bagi pihak Dr Shaariibuu, kepada Abdul Gani tengah hari ini.

Katanya beliau turut menghantar surat itu melalui faksimili ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas. Mengikut undangundang, pendakwaan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Tempoh itu tamat 17 November.

Dalam surat itu, Karpal Singh berkata Shaariibuu dan Setiausaha Kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg, bertemu dengannya pada tengah hari keputusan itu disampaikan, memintanya menulis surat kepada Abdul Gani memintanya memfailkan rayuan.

"Kami berpendapat wujud kes prima facie terhadap Abdul Razak Baginda dan beliau patut diperintah membela diri.

Oleh kerana kes perbicaraan ini telah menarik perhatian antarabangsa dan dalam negara, kami amat berbesar hati jika notis rayuan difailkan secepat mungkin," katanya dalam surat itu.BERNAMA

Artikel Lain